Ucapan Perbahasan Titah Tuanku Adun Tepoh Ustaz Hishamuddin Abdul Karim Sidang Mac 2017

2513

YANG BERHORMAT HAJI HISHAMUDDIN BIN ABDUL KARIM (Wakil Tepoh): Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahir Rabbil ‘Alamin. Wassalatu wassala mu’ala asyrafil anbiya iwal mursalin. Wa’ala alihi wasahbihi ajmain. Ammaba’d.

Terima kasih Dato’ Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, seluruh anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai, para hadirin-hadirat yang dirahmati Allah sekalian. Terima kasih sekali lagi kepada Yang Dipertua kerana saya sudah menunggu sebelum daripada rehat lagi untuk mengambil bahagian di dalam perbahasan Ucapan Titah Tuanku Sultan.

Dalam ruang yang ada pada kesempatan ini insyaAllah saya akan cuba menepati masa yang telah diperuntukkan untuk mengemukakan beberapa perbahasan di atas point-point penting yang perlu diberikan perhatian oleh Ahli Dewan. Saya memulakan ucapan ini dengan memetik satu Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Al-Quranul Qarim: “Wasari’ul ila maghfiratin minrabbikum wajannatin ‘ardhuhassama watiwal ardhu u’iddat lilmuttaqin”. Maksudnya: “Bersegeralah kamu dalam melakukan amal untuk mengejar keampunan daripada Tuhan kamu, mengejar Syurga yang terbentang luas seluas langit dan juga muka bumi, ia hanya disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.”

Pesanan yang dikemukakan ini bukan sahaja kepada umat Islam bawahan tetapi pesanan ini ditujukan kepada semua peringkat manusia yang beragama Islam sama ada kita bergelar sebagai seorang Perdana Menteri, Menteri Besar, Exco, Wakil Rakyat, para pegawai, kerja yang perlu dilakukan oleh kita bukan sahaja untuk mengejar wawasan sementara tetapi wawasan yang perlu dikejar adalah wawasan akhirat, keampunan daripada Allah dan juga mengejar Syurga yang disediakan hanya untuk orang-orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan dengan ayat yang saya bacakan ini memberikan sedikit peringatan kepada saya sendiri dan kepada semua yang hadir betapa pentingnya kita mencari keredhaan, keampunan daripada Allah dan bekerja untuk mengejar Syurga Allah dan bukannya kita mengejar kemewahan duniawi semata-mata.

Dato’ Yang Dipertua, saya berhasrat untuk terus masuk ke perbincangan demi kepentingan rakyat dan juga Negeri Terengganu. Perkara yang pertama yang saya nak sentuh adalah berhubung dengan perkembangan Pusat Bebas Cukai Pulau Bayas. Saya meninjau perkembangan Pusat Bebas Cukai ini pada Disember 2015, mengunjungi sendiri kemudian mengambil maklumat daripada pihak Kerajaan dan pihak Kerajaan yang terakhir telah memberikan maklum balas perkembangan projek tersebut sudah mencapai 76%. Apa yang kita saksikan dua komponen utama projek Pusat Bebas Cukai, yang pertama Kompleks Membeli Belah dan yang kedua, Bangunan Terminal. Kita dapat menyaksikan kerja-kerja yang berlaku masih lagi jauh untuk melayakkan Pusat Bebas Cukai ini beroperasi. Saya sempat mengambil gambar yang boleh untuk kita teliti bagaimana kedudukan bangunan yang sangat jauh untuk melayakkan ia beroperasi sama ada pada bangunan terminal, mungkin terminal lebih banyak tetapi khususnya kepada Kenyir Trade Centre yang tidak menampakkan wajah untuk dibangunkan sebagai Pusat Bebas Cukai seperti yang telah diucapkan oleh Tuanku Sultan di dalam halaman yang ketujuh kelmarin.

Dato’ Yang Dipertua, jangkaan siap sebenarnya pada tahun 2013 kemudian kita menyaksikan kelewatan telah melangkaui tiga tahun. Dan kini sudah masuk pada tahun yang keempat, sebenarnya apakah nasib Pembangunan Projek Bebas Cukai di Pulau Bayas, Kenyir? Saya memohon pihak Kerajaan memberikan penegasan dalam Dewan yang mulia ini komitmen pihak Kerajaan untuk meneruskan pembukaan Pusat Bebas Cukai ini. Jika sekiranya itu komitmennya, kita memerlukan sekali lagi penegasan pihak Kerajaan terhadap jangkaan siap sepenuhnya untuk Pusat Bebas Cukai ini beroperasi.

Dato’ Yang Dipertua, saya beralih kepada isu Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM4.284 bilion. Kenyataan yang dikeluarkan sebelum daripada ini, sumber kewangan ini dikeluarkan dari Lembaga Lebuh Raya Malaysia melalui sumber kewangan RMK9–10 sebanyak RM1.52 bilion. JKR melalui sumberi kewangan RMK9-10 sebanyak RM0.914 bilion dan melalui sumber kewangan Dana Khas sebanyak RM1.85 bilion. Saya terbaca jawapan yang dikemukakan oleh Menteri Kerja Raya di dalam Sidang Parlimen pada 9 Mac 2017 terhadap soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus yang telah meminta diperincikan tentang kutipan tol di LPT2. Yang Berhormat Menteri Kerja Raya menjelaskan kutipan tol yang bermula 15 Julai sehingga 31 Disember 2016 telah berjaya mengutip dan memperolehi sebanyak RM40.5 juta. Syarikat konsesi yang mengurus kutipan tol ini adalah LPT2 Sdn. Bhd. Hasil kutipan tol dibelanjakan oleh syarikat konsesi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan serta melaksanakan kerja-kerja pembaikan utama.

Ada beberapa perkara yang perlu ditimbulkan dalam Dewan yang mulia ini berhubung dengan pegangan syarikat konsesi yang perlu diketahui oleh rakyat dan juga Ahli Dewan. Tempoh perjanjian konsesi ini perlu diketahui umum seperti yang telah dibuat oleh Syarikat Konsesi PLUS Expressway Berhad yang telah mengisytiharkan tempoh konsesi mereka berakhir pada 31 Disember 2038. Syarikat konsesi ini telah memulakan perjanjian pada tahun 1988 sehingga 2018 dan dilanjutkan kembali sehingga tahun 2030 melalui konsesi tambahan pada tahun 1999. Di atas justifikasi, Kerajaan tidak menaikkan kadar tol seperti di dalam perjanjian menurut dakwaan mereka, ini cerita PLUS. Perjanjian konsesi tambahan ini dilanjutkan sehingga 2038 buat kali ketiga yang ditandatangani pada tahun 2005 tetapi bila berbalik kepada Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang telah menggunakan kos Dana Khas milik rakyat Terengganu. Apakah wajar syarikat konsesi ini melakukan kutipan tol dalam keadaan modalnya dari Dana Awam? Syarikat konsesi untuk LPT2 adalah Lebuh Raya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. Syarikat ini adalah milik penuh Projek Lebuh Raya Usahasama Berhad ataupun PLUS Malaysia Berhad. Semakan yang kita buat tidak ada langsung kepentingan daripada Kerajaan Negeri. Dalam keadaan kita telah claim, yang kita telah mendakwa duit ini adalah duit kita untuk membangunkan LPT2. Tiba-tiba saat untuk mengutip tol, kita langsung tidak terpilih untuk terdiri daripada mereka yang memiliki kepentingan di dalam Syarikat LPT2 Sdn. Bhd. sebagai sebuah syarikat konsesi.

Dato’ Yang Dipertua, pihak Kerajaan Negeri dilihat tidak serius untuk menuntut kembali hak penggunaan duit RM1.85 bilion ini. Hatta untuk mendapat pegangan saham antara pemegang konsesi pun seperti kita tidak diberi muka. Walaupun pihak Kementerian Kerja Raya pernah mendakwa untuk mempertimbangkan tuntutan ini seperti yang dijelaskan oleh Timbalan Menteri di dalam Dewan Parlimen. Yang Amat Berhormat Menteri Besar pernah mengeluarkan kenyataan untuk merayu sekalipun kos penyiapan LPT2 menggunakan perbelanjaan Dana Khas, supaya dapat dipertimbangkan berhubung dengan tol yang dilaksanakan.

Sama ada rayuan tersebut berlaku ataupun tidak, rakyat tidak mengetahui ia hanya laporan media untuk kita memohon rayuan, kita berhasrat untuk melakukan rayuan. Tetapi perkara yang diketahui oleh rakyat, setiap kilometer melalui LPT2, kita terpaksa dibebankan dengan 12 sen 1 kilometer. Kami sedar pihak Kerajaan Negeri menuntut pembayaran balik kos daripada pihak Persekutuan. Meskipun demikian, pulangan yang diberikan hanyalah sejumlah RM118.5 juta. Itupun pengembalian dalam bentuk projek seperti yang telah dijelaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebentar tadi, daripada dua lorong kepada empat lorong, laluan pergi ke, laluan Awana ke Kemaman. Dan laluan tersebut adalah laluan Persekutuan. Projek tersebut sepatutnya dikendalikan oleh pihak Persekutuan bukannya daripada duit Negeri yang kita anggap yang telah kita tuntut.

Sebab itu Dato’ Yang Dipertua, apabila kita melihat perkembangan-perkembangan seperti ini kita ingin minta penjelasan pihak Kerajaan Negeri apakah kita tidak ada langsung hak di atas LPT2? Ataupun adakah kita seperti dipermainkan sehingga RM1.85 bilion ini seperti tidak dipedulikan tuntutan kita?

Dato’ Yang Dipertua, mutakhir ini Kerajaan dilihat begitu agresif dalam membuat pembangunan secara konsep pembiayaan ataupun dalam laras bahasa yang agak mudah membawa pembangunan dengan hutang. Bandar Baru Kuala Nerus sebagai contoh, menelan belanja sehingga RM700 juta daripada kos asal RM600 juta. Kita akan berhutang dengan pihak kontraktor utama dan kita perlu jelaskan RM70 juta pada setiap tahun dalam tempoh 10 tahun seperti yang telah dinyatakan dalam Bajet 2016.

Projek membangunkan Bandar Baru Kuala Nerus berjaya diperolehi oleh syarikat kontraktor utamanya Casa Hartamas Sdn. Bhd. yang sangat terkenal dengan sumbangan pokok Ceiba Speciosa yang begitu mashyur diperkatakan oleh rakyat Terengganu tempoh hari. Adakah pembangunan Bandar Baru Kuala Nerus akan mencontohi pembangunan Putrajaya? Dalam ertikata yang lain, kakitangan awam akan menduduki premis Pentadbiran, yang perlu membayar sewa oleh pihak Kerajaan kepada pihak pemegang konsesi. Saya memohon penjelasan daripada pihak Kerajaan berhubung dengan perkara ini.

Demikian juga dengan Projek Loji Rawatan Air di Bukit Sah, Kemaman yang bernilai RM499 juta yang dibuat secara bertangguh, secara konsep deferred payment dengan izin, akhirnya mencecah sehingga RM686 juta. Demikianlah juga projek Loji Air di Kuala Terengganu yang bernilai RM767 juta meningkat dan mencecah RM1.3 bilion. Kedua-dua projek ini diperolehi oleh syarikat luar, Syarikat Beijing Enterprise Water Group Malaysia Sdn. Bhd. dan diperolehi oleh Syarikat Konsortium Amani JV Sdn. Bhd. Kos yang terkumpul Dato’ Yang Dipertua, sekadar kiraan yang saya ambil daripada konsep pembangunan seperti ini dan dicampur dengan jumlah hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, kita sudah membuat hutang sebanyak RM3.6 bilion. Dengan jumlah keseluruhan ini membuktikan bahawa kita sudah dibebani dengan jumlah hutang yang sangat besar tanpa disedari.

Dato’ Yang Dipertua, saya berbalik kepada hutang Kerajaan Negeri dengan pihak Persekutuan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada menyatakan sebentar tadi, kita boleh berunding, sebab kita anak dan juga ayah, darah kira sama. Tapi saya hairan dengan faedah yang dikenakan mencecah RM25 juta. Takkanlah ayah tergamak untuk kenakan faedah daripada anak ketika mana membuat pinjaman. Kalaulah darah yang sama, apa salahnya meminta supaya faedah ini dihapuskan supaya kita dapat membangunkan Negeri dengan konsep Federalisme yang cukup baik.
Saya mengira Dato’ Yang Dipertua, pembayaran berjadual dengan had ataupun bayaran bertangguh ini antara kaedah inisiatif kewangan swasta atau dikenali sebagai Private Finance Initiative atau PFI. Kalaulah benar telahan ini, izinkan saya bertanya kepada pihak Dewan, apakah kaedah yang digunapakai untuk semua projek pembangunan ini? Adakah berkonsepkan build and transfer (bina dan serah)? Ataupun berkonsepkan build, operate and transfer (bina, operasi kemudian baru serah)? Apakah sistem yang digunapakai? Kerana kita tidak mengetahui perkembangan-perkembangan yang berlaku ini. Kerana kita yakin antara perkara yang tersembunyi adalah facility management yang diperolehi oleh syarikat-syarikat kontraktor utama ini.

Dato’ Yang Dipertua, untuk akhir saya tidak ketinggalan menyentuh berkenaan dengan isu hakisan pantai. Ekoran dalam DUN Tepoh, kita menghadapi suasana yang sangat serius setiap kali musim tengkujuh. Tapi menyaksikan usaha yang dilakukan hanya untuk menunggu saat tibanya tengkujuh, berlaku ombak besar barulah pada waktu tersebut kita sibuk untuk melakukan pemulihan. Itu adalah suatu suasana yang sangat terlambat. Saya memohon supaya pihak Kerajaan mengambil kira inilah musimnya untuk kita menyelesaikan dengan lebih terperinci.

YANG BERHORMAT DATO’ YANG DIPERTUA: Tepoh panjang lagi ke?

YANG BERHORMAT HAJI HISHAMUDDIN BIN ABDUL KARIM (Wakil Tepoh): Saya nak habis dah. Saya jemu dengan apa yang telah disebut, kajian demi kajian. Kita harap tindakan lebih konkrit dapat dilakukan dalam menyelesaikan semua isu ini demi kepentingan rakyat khususnya masyarakat nelayan yang berada di tempat tersebut.

Dato’ Yang Dipertua, menghormati kedudukan masa yang tidak mengizinkan saya rasa memadai setakat ini. Wabillahi taufiq walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.