Lajnah Antarabangsa PAS Pusat memandang serius laporan berkenaan cadangan pelantikan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia.
Pengerusinya YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, Malaysia adalah sebuah negara berdaulat, memiliki hak penuh untuk menerima atau menolak mana-mana wakil diplomatik asing yang dicadangkan oleh mana-mana negara.
“Berdasarkan Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961, khususnya Artikel 4(1), dinyatakan bahawa:
“The receiving State is not obliged to give reasons to the sending State for a refusal of an agrement.”
“Ini bermaksud, Malaysia tidak terikat untuk memberikan sebarang penjelasan kepada Amerika Syarikat sekiranya memutuskan untuk menolak pelantikan Nick Adams sebagai duta. Artikel ini memberikan kuasa penuh kepada negara penerima untuk menentukan kesesuaian seseorang calon duta asing.” jelasnya dalam satu kenyataan media.
Memurut beliau. Nick Adams merupakan individu yang telah membuat pelbagai kenyataan kontroversial dan melampau, termasuk kenyataan bersifat perkauman, anti-Islam, seksis, dan tidak menghormati perjuangan rakyat tertindas.
“Beliau pernah secara terbuka menyatakan kebanggaan kerana menyebabkan seorang pelayan dipecat hanya kerana memakai pin “Free Palestine”, serta mempromosikan budaya hiburan yang menjatuhkan maruah wanita.
“Pelantikan beliau jelas bercanggah dengan nilai-nilai Islam sebagai agama Persekutuan dan majoriti rakyat Malaysia, bertentangan dengan adat budaya ketimuran, serta mengabaikan sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.” tambah Ustaz Khalil.
Katanya, Nick seolah-olah satu penghinaan kepada Malaysia apabila seorang individu yang tiada latar belakang mahupun pengalaman dalam urusan diplomatik dihantar untuk mewakili sebuah kuasa besar ke negara kita yang mempunyai sejarah dan hubungan diplomatik yang penting dengan Amerika Syarikat.
“Pelantikan individu seperti ini bukan sahaja mengganggu sensitiviti masyarakat, tetapi juga berisiko merosakkan hubungan dua hala yang telah terjalin sekian lama antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
“Malaysia berhak untuk menuntut seorang duta yang berwibawa, berpengalaman, dan menghormati nilai serta sensitiviti tempatan.” tegas beliau lagi.
Sehubungan itu, beliau mendesak YAB Perdana Menteri Malaysia untuk menolak cadangan pelantikan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, demi menjaga keharmonian nasional, maruah negara, dan prinsip kedaulatan dalam hubungan antarabangsa.
“Kami berharap kerajaan Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip diplomasi yang berteraskan kesopanan, hormat-menghormati, serta kebijaksanaan dalam mempertahankan kedaulatan negara ini.” kata beliau





























