Tidak Laksana Enakmen Jenayah Syariah; Kerajaan Umno-BN Amat Memalukan

1676

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menyifatkan, ia sesuatu yang amat memalukan bagi kerajaan Umno dan Barrisan Nasional (BN) tidak mengambil apa-apa usaha bagi melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah yang telah diluluskan sejak 15 tahun yang lalu.

Namun begitu, Pesuruhjayanya Dato’ Ustaz Husain Awang mengucaplan terima kasih kepada Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu yang peka terhadap keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

“Terima kasih (kerana) memberi satu respon yang baik terhadap perkembangan yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Kelantan yang membuat keputusan untuk melaksanakan sebahagian daripada Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan yang diluluskan pada tahun 1993 yang lalu iaitu untuk melaksanakan sebat mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh syarak.

“Jadi oleh kerana itu Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu yang mencadangkan kepada kerajaan Terengganu adalah kena pada tempatnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media, sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfiti PAS Terengganu, di sini semalam.

Oleh itu, sayugia beliau mengharapkan agar rakyat memahami bahawa Enakmen Jenayah Syariah Terengganu itu, telah diluluskan pada tahun 2002 dizaman pemerintahan kerajaan PAS pada ketika itu.

“Sejak daripada itu sehinggalah sekarang ini tidak apa-apa tindakan dan juga perubahan yang diambil oleh pengurusan dan pentadbiran Umno Barisan Nasional negeri .

“Jadi ini satu pukulan yang amat memedihkan. Pukulan yang amat memalukan kepada kerajaan Barisan Nasional.

“oleh kerana itu kita harap rakyat mempunyai kesedaran dan mempunyai sensitiviti yang begitu tinggi untuk membuat perubahan insya Allah,” tegas beliau.

Mantan ‘Speaker’ DUN Terengganu itu juga menyatakan sekali lagi, PAS Terengganu telah bersedia dengan segala kelengkapan dan keupayaan yang ada untuk memikul amanah sebagai kerajaan.

Menurutnya, PAS akan mengambil tanggungjawab mandat yang akan diberikan oleh masyarakat dan juga pengundi seluruh negeri.

Katanya, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada kali menjadi harapan kepada para pejuang dan pencinta Islam untuk melihat satu perubahan yang akan berlaku dalam urusan dan pentadbiran negeri.

“itu kita harap rakyat mempunyai kesedaran dan mempunyai sensitiviti yang begitu tinggi untuk membuat perubahan insya Allah,” ujar beliau.