KUALA NERUS – Sistem pentadbiran kerajaan BN gagal dan meletakkan negara Malaysia dalam kedudukan yang tidak stabil.
Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS Dr Nik Zawawi bin Salleh berkata, ia telah membawa kepada kearah kebejatan, kemusnahan, sistem ekonomi rasuah, penggelapan wang negara dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata, perkara yang paling membimbangkan ialah isu melibatkan jenayah rompakan, yang terdiri daripada golongan ‘kolar putih’.
“Baru-baru ini kita didedahkan media ratusan juta wang yang digelapkan, disimpan dalam rumah……kalau simpan dalam bank panjang cerita,
“ada bukti ada akaun dari semua ini orang akan boleh dikesan terpaksa (wang tidak sah) ia simpan dalam rumah seperti yang berlaku kepada Pengarah Air Sabah, ratusan juta dirampas dari rumahnya,” jelas beliau.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Terengganu berkata demikian ketika merasmikan Majlis Minum Petang (Hi-Tea) Muslimat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal pada Jumaat 21 April.


Katanya, ia adalah bukti secara jelas, salah laku berlaku secara berterusan dalam kerajaan yang terus mengamalkan polisi yang sama.
“sekiranya kerajaan ini mengamalkan polisi yang sama ia akan menjurus kearah itu…..bermula dari Perdana Menteri pertama Tunku Abd Rahman sehingga zaman (Tun) Mahathir,
“dan zaman (Dato’ Seri) Najib, lagi tenat sehingga ke hari ini, sistem yang diguna pakai gagal menangani semua yang disebut diatas, kerana sistem yang sama, walau pemimpin berbeza,” tegasnya.
Cuma bezanya, kata beliau, maklumat masakini lebih terdedah berbanding dahulu dengan adanya teknologi maklumat seperti telefon pintas dan aplikasi mesej atas talian.
Justeru itu, beliau bersyukur kerana Usul Pindaan Rang Undang-undang Akta 355 (RUU355) dapat dibentangkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awan, Presiden PAS selaku Ahli Parlimen Marang.
“Saya kira ada hubung kait dengan apa yang saya katakana……menyebabkan kita berfikir apa nak jadi kepada negara kita ini……generasi anak-anak kita semakin lama semakin teruk,
“oleh itu kerajaan yang ada hari ini perlu ditukar, kerana sistem (dan) polisi yang diamalkan gagal menjamin kesejahteraan rakyat ,” ujar beliau.
Beliau menekankan, sistem yang direka oleh manusia akan menjadikan natijahnya sama sahaja, kecuali kembali kepada sistem ciptaan Allah.
“Wajarlah kita buat perubahan pada pilihan raya umum ke-14 nanti,” tambah beliau.




























