Salahguna Peruntukan Khas ADUN; Jabi Terselamat Kerana Tidak Diaudit?

1149
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita15/lawatan.jpg

Peruntukan bagi maksud perbelanjaan mengurus dan pembangunan kepada setiap kawasan DUN disalurkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) kepada Pegawai Daerah selaku Pegawai Pengawal dan pemberian peruntukan dibuat secara berperingkat. Perancangan dan pelaksanaan program dan projek di peringkat DUN dilaksanakan oleh Pejabat Khidmat Masyarakat DUN.

Laporan Ketua Audit Negara bagi Negeri Terengganu tahun 2011 menyebut, bagi tahun 2009 hingga 2011, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan khas ADUN berjumlah RM89.60 juta. Perincian peruntukan yang diluluskan bagi 32 kawasan DUN di seluruh Negeri Terengganu, tahun 2009 RM17.60 juta, 2010 RM25.60 juta dan 2011 RM46.40 juta. 32 Dun bermakna sepatutnya kesemua ADUN pembangkang juga berhak menerima bahagian dari peruntukan ini, tapi hakikatnya kosong!

Dalam rangka Jabatan Audit Negara untuk menilai sama ada pengurusan peruntukan khas ADUN telah diuruskan dengan cekap dan berkesan mengikut peraturan kewangan yang berkuat kuasa, Pengauditan telah dilaksanakan di 3 Pejabat Daerah iaitu Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Dungun dan Setiu melibatkan 9 kawasan DUN iaitu Ladang, Bandar, Batu Rakit, Bukit Tunggal, Sura, Rantau Abang, Paka, Permaisuri dan Langkap.

Berdasarkan Garis Panduan yang dikeluarkan, penggunaan peruntukan khas ADUN tidak boleh digunakan bagi tujuan lawatan sambil belajar; membiayai projek Jabatan dan pemberian kepada individu, badan politik, kelab atau persatuan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan atau Pendaftar Syarikat yang menjalankan aktiviti komersial dan membuat keuntungan.

Penemuan audit mendapati salah guna peruntukan khas ADUN bagi tujuan lawatan sambil belajar adalah bentuk pelanggaran garis panduan yang mengambil posisi paling atas di mana pada tahun 2009 hingga 2011, sejumlah RM363,365 telah dibelanjakan bagi bantuan lawatan sambil belajar atau lawatan bermaklumat di dalam dan luar negara. Perbelanjaan tersebut merupakan perbelanjaan lawatan sambil belajar ke negeri di seluruh Malaysia melibatkan pelajar sekolah, Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung dan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru. Manakala lawatan bermaklumat melibatkan persatuan pelajar universiti dan pemimpin belia ke luar negara seperti Indonesia, China, Singapura dan Thailand.

Umum sedia memaklumi, istilah lawatan sambil belajar adalah kaedah ‘cover line’ paling favourite diamalkan oleh Umno supaya peruntukan khas ADUN dapat dikeluarkan dan dibelanjakan untuk kepentingan politik.

Daripada 9 Dewan Undangan Negeri yang diaudit, hanya DUN Bukit Tunggal yang terselamat, manakala baki 8 Dun lain semuanya didapati telah menyalahgunakan peruntukan untuk tujuan lawatan dengan jumlah seperti disenaraikan. Batu Rakit RM29,150, Ladang RM6,110, Bandar RM6,000, Rantau Abang RM44,322, Sura RM15,800, Paka RM49,58, Langkap RM64,012, Permaisuri RM148,387.

Rakyat mungkin berhajat ingin mengetahui bagaimana mungkin angka yang dikeluarkan, kalau DUN Jabi turut diaudit. Pertanyaan ini sangat berasas bila dinilai dari keadaan infrastruktur dan kemudahan asas yang dinikmati oleh rakyat di sini ternyata sangat tidak sepadan dengan jumlah yang diperuntukan. Di tambah lagi dengan pendedahan terbaru seorang bekas kakitangan Pertubuhan Kebajikan Anak yatim (PERKAYA) Dun Jabi yang telah dibuang kerja kerana dituduh terlibat dalam penyelewengan peruntukan untuk anak-anak yatim yang didakwanya telah dibelanjakan untuk tujuan lawatan sambil belajar ke Langkawi atas nasihat YB Jabi. Khabarnya bekas kakitangan PERKAYA ini telah mengfailkan tindakan saman malu di mahkamah terhadap bekas majikannya.

Walaupun terselamat dari diaudit, YB Jabi tetap dituntut memberi penjelasan dalam beberapa perkara;
Yang pertama, berapakah jumlah peruntukan khas ADUN yang telah disalurkan Kerajaan Negeri kepada DUN Jabi sepanjang tempoh YB memandu kereta dengan crown ADUN terpampang di hadapan?
Yang kedua, apakah projek-projek pembangunan dan kebajikan DUN yang telah dibelanjakan dengan peruntukan tersebut?
Yang ketiga, berapa banyakkah yang telah dibelanjakan untuk tujuan program lawatan sambil belajar?
Yang keempat, penjelasan YB dalam kes yang didakwa oleh bekas kakitangan PERKAYA tadi adalah dituntut supaya tidak ada pihak yang teraniaya.

Rakyat melihat secara umum, kalau dakwaan itu benar walaupun kita sangat meyakini bahawa ianya benar, sungguh perlakuan tersebut adalah sangat tidak berintegriti mengikut istilah pentadbiran atau berdosa besar mengikut istilah syara’ kerana kesalahan memakan harta anak-anak yatim dengan tujuan yang salah dikategorikan sebagai dosa besar!

Tambahan pula, kalau peruntukan anak yatim boleh diselewengkan tanpa rasa bersalah, mana jaminan peruntukan khas ADUN tidak diselewengkan?

Rasa kecurigaan ini tambah berganda melihat gaya hidup yang dipamerkan YB kepada rakyat. Rumah mewah, Toyota Harrier, Honda CRV, motor besar, jeep, puluhan ekar ladang sawit yang dimiliki, semuanya menghadirkan tandatanya, dari mana semua ini YB?