KUALA TERENGGANU – Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) URA 2025 dilihat lebih menguntungkan pemaju besar dan pemilik kaya berbanding menjaga kepentingan rakyat biasa.
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, kebimbangan utama rakyat ialah jika ia diteruskan, ia boleh membuka ruang kepada pembangunan yang tidak seimbang serta hanya memihak kepada pihak tertentu.
“Jangan terburu-buru meluluskannya kerana ia melibatkan hak penempatan rakyat.
“Cadangan ambang persetujuan daripada penduduk di kawasan yang terlibat juga terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara lain,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, cadangan ambang persetujuan ditetapkan pada kadar 80 peratus bagi bangunan berusia 30 tahun ke bawah dan 75 peratus bagi bangunan lebih 30 tahun.
“Sedangkan di Hong Kong, kadar persetujuan yang diperlukan ialah 90 peratus bagi bangunan berusia sehingga 50 tahun, manakala di Singapura 80 peratus untuk bangunan 10 tahun ke atas.
“Jelas bahawa tiada negara lain yang menetapkan ambang serendah 75 peratus,” katanya.
Tambah beliau, impak daripada ketetapan ini sangat besar terhadap kehidupan rakyat dan perlu dinilai dengan teliti.
“Oleh itu, marilah sama-sama kita perjuangkan isu ini, wahai ahli Parlimen sekalian. Semoga keputusan yang terbaik dapat diputuskan demi hak rakyat,” ujarnya.





























