RM30 Juta, Lebih Daripada Cukup Untuk Bina Masjid Kubur Timah!

3161

Oleh : DMS

Dengan peruntukan RM 30 Juta kepada setiap wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk pembangunan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya.

Jumlah tersebut adalah lebih dari mencukupi bagi ADUN Batu Rakit membawa pembangunan yang bersifat fizikal dan kerohanian yang jauh lebih terkehadapan di saat teknologi yang semakin laju berkembang sekarang.

Namun begitu, secara umum penduduk Batu Rakit mengetahui tiada apa yang boleh dibanggakan baik dari segi pembangunan mahupun sosio-ekonomi yang dapat membantu mereka keluar dari kepompong kesusahan hidup.

Walaupun kedudukkan DUN berada di pinggir bandaraya Kuala Terengganu dan berhampiran dengan perkembangan pesat Bandar Baharu Kuala Nerus, namun tempias pembangunan itu tidak dirasai.

Di tambah pula dengan kos sara hidup yang semakin mendesak sekarang, menjadikan warga Batu Rakit ibarat sudah jatuh ditimpa tangga pula.

Walaubagaimanapun masih ada segelintir mereka yang mendakwa rumah kedai di kampung Lingai adalah merupakan satu pembangunan yang telah dilaksanakan oleh ADUN dan dapat dibanggakan, namun tidak memadai sesudah tiga penggal diwakili Umno-BN.

Bahkan wakil rakyat yang berjawatan Exco sebelum ini, tidak membawa perubahan yang ketara kecuali rumah peribadi beliau yang tersergam indah, dikhabarkan berharga jutaan ringgit.

(Gambar atas – tanah masjid Kampung Timah telah diwartakan oleh kerajaan negeri sebagai sebuah  tapak masjid, masih terbiar sehingga hari ini)

Tiga penggal penduduk Batu Rakit memberikan kepercayaan kepada dua wakil rakyat dari UMNO-BN, bukan sahaja berada pada tahap yang sama bahkan lebih teruk, kembali ke zaman ‘karut’ apabila pesta ‘memuja’ pantai dihidupkan semula.

Umno menghidupkan budaya dan aktiviti yang melalaikan serta membawa kepada pembaziran wang dengan program-program yang kurang membawa manfaat kepada rakyat.

Rata-rata penduduk Batu Rakit sekarang tertanya-tanya apakah yang berlaku kepada sebidang tanah yang telah di wartakan oleh Kerajaan Negeri untuk didirikan sebuah masjid di Kampung Kubur Timah, dekat Wakaf Cagak.

Semasa pemerintahan PAS pada tahun 1999-2004 dahulu, wakli rakyatnya Allahyarham Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik telah berusaha untuk membina sebuah masjid di kampung tersebut yang mempunyai kepadatan penduduknya, lebih dari 1000 orang.

Namun, setelah Umno merampas Batu Rakit, walaupun wakil rakyatnya seorang Exco agama, namun tapak masjid itu terbiar, tidak dipedulikan. masih lagi belum dibina.

Bukankah ia menjadi satu dosa kepada yang diberi amanah, tidak melaksanakan tanggugjawab terhadap agama terutamanya?

ADUN sekarang yang juga bekas seorang pendidik pasti cukup sedar tentang perkara ini dan sepatutnya melanjutkan perkara kebaikan dan kebajikan yang telah diusahakan.

Cikgu Bazlan sepatutnya bertanya kepada pejabat, samada pejabat daerah atau pejabat agama, ke manakah perginya sumbangan derma yang telah dikutip daripada orang ramai untuk tabung pembinaan masjidi Kampung Kubur Timah!

Bahkan sekiranya Umno benar-benar ikhlas dan sesungguhnya memperjuangkan agama, bangsa dan negara, peruntukan RM30 juta lebih dari mencukupi untuk mendirikan sebuah rumah Allah!

Ke mana perginya RM30 juta itu?