Selesaikan Kerosakan Projek Pasca ECRL Ikut Spesikasi JKR

43

Tindakan kontraktor Projek ECRL hanya melakukan “tampalan kosmetik” (patching) dalam membaiki jajaran yang rosak ditegur supaya mengikut spesifikasi Jabatan Kerja Raya(JKR).

Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berharap jalan-jalan yang terkesan Projek Pasca ECRL di Rantau Abang diturap semula secara menyeluruh (overlay) bukannya sekadar tampalan yang akan berlubang semula selepas sebulan.

“Sepanjang tempoh pembinaan, jalan-jalan utama dan jalan kampung di DUN Rantau Abang telah digunakan oleh kenderaan berat, lori tanah, dan jentera mega yang mengakibatkan struktur jalan menjadi mendap serta beralun,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Diraja di Sidang Dewan Undangan di sini semalam.

Menurutnya, beliau membangkitkan sekarang supaya tidak terlewat dan inginkan ‘Exit Strategy’ yang jelas daripada kontraktor.

“Jangan sampai mereka keluar, jalan kita hancur, rakyat kita yang merana, kita mahu pencegahan, bukan sekadar membaiki bila nasi sudah jadi bubur ,” luahnya lagi.