PRK Pengkalan Kubor; PAS Layak Letakkan Calon

895

KUALA TERENGGANU – Sejak awal lagi, PAS yakin dapat memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor sekiranya parti itu meletakkan calonnya pada pilihanraya kecil yang bakal diadakan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerusi itu yang diberi kepada PKR pada PRU13, hanyalah sebagai pinjaman sahaja dan Pas boleh kembali mempertahan kerusi itu berikutan ada sokongan kuat dari akar umbi.

“Kerusi itu memang milik Pas sebelum ini, tetapi atas dasar pakatan kita beri pinjam kepada PKR untuk bertanding menentang BN dalam PRU-13 lalu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kota Sejahtera Chiku, pada 28 Ogos lalu.

Dewan Muslimat PAS turut yakin, PAS akan mencapai kemenangan kerana ia adalah perkara penting yang perlu dipertimbangkan oleh pemimpin atasan.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof meminta kerusi Dun Pengkalan Kubor, diserahkan kembali kepada PAS setelah diwakili PKR sejak dua penggal lalu.

Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini mungkin sudah tiba masanya corak politik di Dun Pengkalan Kubor diberikan nafas baharu.

Menurut beliau, pihaknya yakin kebijaksanaan kepimpinan yang ada boleh mempertimbangkan dengan menilai sejarah lalu untuk memberi laluan kepada PAS.

“Setelah beberapa penggal sebelum ini kita telah memberi laluan kepada PKR untuk bertanding tetapi tidak diberi kemenangan. Bermakna rakyat perlukan selera baharu.

“Pas perlu mengisi tempat itu (Dun Pengkalan Kubor) kerana paling penting adalah untuk mencapai kemenangan dan saya berharap perkara ini dipertimbangkan pihak atasan,” katanya kepada pemberita, pada 24 Ogos, ketika beliau menghadiri Muktamar Dewan Muslimat Pas Kelantan Ke-41 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika merasmikan Markas Besar PRK pada Sabtu 6 September berkata, PAS akan mengumumkan calonnya yang bakal bertanding di DUN itu pada 11 September iaitu sehari selepas BN mengumumkan calonnya.

Bagaimanapun beliau berkata PAS akan mengadakan rundingan dengan PKR untuk memuktamadkan parti manakah yang bakal bertanding pada PRK Pengkalan Kubor.

Perkara yang sama dinyatakan oleh Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, pada Ahad 7 September.

Beliau berkata PKR bersedia menimbangkan untuk memberi laluan kepada PAS bagi bertanding pada kali ini.

“PAS dan PKR Kelantan pada dasarnya telah membuat pertimbangan, walaupun kerusi DUN Pengkalan Kubor dulu ditandingi PKR tetapi mereka bersedia ia ditandingi oleh PAS.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi PKR dan Pakatan Rakyat,” katanya

Mustafa berkata, pimpinan PAS Pusat akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi PKR dan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara ini.

“Kita akan bertemu dalam masa terdekat untuk menimbang dan memutuskan perkara ini,” katanya dipetik beberapa media utama.

Sebelum itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap PAS akan dapat dapat menggantikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor yang akan diadakan pada 25 September depan

“Saya orang PAS, saya nak PAS lah,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Pulau Melaka

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk membuat keputusan berhubung calon pakatan pembangkang yang bakal bertanding dalam PRK itu.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor menjadi kontroversi dalam Pakatan Rakyat apabila terdapat gesaan daripada PAS yang mahu kerusi milik PKR itu ditandingi parti itu dalam PRK akhir bulan ini.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar daripada Barisan Nasional (BN) meninggal dunia akibat kanser pada 20 Ogos lalu.

Noor Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Tumpat mempertahankan kerusi DUN Pangkalan Kubor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu dengan majoriti 1,736 undi.

Beliau yang memperoleh 10,174 undi menewaskan dua lagi lawannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saharun Ibrahim yang mendapat 8,438 undi serta seorang calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 65 undi.

Tinjauan yang dibuat oleh pihak media mendapati, rata-rata warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor mahu PAS meletakkan calonnya pada Pilihanraya Kecil (PRK) yang bakal diadakan.

Sumber dari pihak keselamatan memberitahu, melalui risikan yang dibuat merumuskan, Pakatan Rakyat akan tewas pada PRK itu sekiranya, calon dari PKR diletakkan.