Terengganu, Malaysia

PN Perlu Ada ‘Kabinet Menunggu’

PN Perlu Ada ‘Kabinet Menunggu’

DUNGUN, 21 November – Perikatan Nasional (PN) perlu menampilkan barisan kepimpinan yang bersedia mengisi jawatan menteri dan mentadbir negara, bukannya terlalu tertumpu kepada persoalan siapa bakal menjadi Perdana Menteri ke-11 menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, antara kelemahan yang perlu diperbaiki PN ketika ini ialah kegagalan menonjolkan barisan pemimpin yang benar-benar bersedia mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, PN perlu mempunyai sebuah ‘kabinet menunggu’ bagi membuktikan kepada rakyat bahawa gabungan itu mempunyai pasukan yang mampu mengurus kementerian utama sekiranya diberikan mandat mentadbir negara.

“Kelemahan kita yang pertama, kita tidak cukup kepimpinan utama menunjukkan kepada rakyat kita ada satu ‘cabinet in waiting’.

“Saya ambil satu pendekatan yang mudah. Dalam Perikatan Nasional sekarang ini, tuan-tuan dan puan-puan rasa siapa yang boleh jadi Menteri Kesihatan?.

“Kita tak nampak lagi seorang yang boleh melawan Menteri Kesihatan yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Podcast Terang Bulan sempena program Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2.0 di Dungun, hari ini.

Podcast berkenaan turut menampilkan Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard dan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Dr. Tengku Fakhruddin Tengku Md Fauzi.

Mengulas lanjut, Rafique berkata, PN sebenarnya mempunyai tokoh yang berpengalaman dan berkemampuan dalam bidang tertentu, namun kelebihan tersebut perlu diketengahkan dengan lebih jelas kepada masyarakat.

Beliau mengambil contoh kepakaran dalam sektor perladangan dan komoditi merujuk kepada Ahli Parlimen Tangga Batu yang boleh dimanfaatkan untuk membentuk pasukan pentadbiran berwibawa.

Katanya, rakyat perlu diyakinkan bahawa PN mempunyai pemimpin yang bukan sahaja mampu mengkritik dasar kerajaan, malah berupaya menawarkan penyelesaian terhadap masalah negara.

Dalam pada itu, Rafique berkata, PN juga perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dalam perdebatan berpanjangan mengenai siapa yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan.

Menurutnya, persoalan berkenaan telah mengalihkan perhatian daripada matlamat lebih besar, iaitu memenangi pilihan raya dan membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

“Kelemahan kita yang kedua, kita mudah terperangkap dengan permainan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua orang tertanya-tanya siapa PM11, siapa PM11, siapa PM11.

“Sedangkan fokus utama kita seharusnya adalah kita nak ke Putrajaya. Kita hendak 125 kerusi. Kita nak majoriti yang kuat supaya kita boleh mentadbir dengan sempurna,” katanya.

Rafique berkata, keutamaan PN sepatutnya diberikan kepada usaha membina kekuatan gabungan, menyusun strategi pilihan raya dan menyediakan dasar yang mampu menjawab keperluan rakyat.

Beliau turut mengingatkan bahawa perdebatan mengenai calon Perdana Menteri boleh menyebabkan parti-parti lebih sibuk menuntut kerusi berbanding memikirkan agenda pentadbiran negara.

“Dan bila ada permainan yang dikenali sebagai siapa nak jadi PM, mulalah berlakunya pergerakan-pergerakan untuk cop kerusi.

“Kita nak bertanding berapa? Awak nak bertanding berapa? Akhirnya rakyat dilupakan.

“Dan bila rakyat dilupakan, politik diutamakan, yang akan hukum kita nanti adalah rakyat,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua parti yang bekerjasama dalam PN supaya mengutamakan matlamat bersama dan tidak meletakkan kepentingan masing-masing mengatasi usaha membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

Menurutnya, persediaan menghadapi PRU16 tidak boleh terbatas kepada rundingan kerusi dan pembahagian jawatan, sebaliknya mesti melibatkan usaha membina keyakinan rakyat terhadap kemampuan gabungan berkenaan.

Rafique berkata, sebahagian besar rakyat Malaysia tidak mempunyai keahlian dalam mana-mana parti politik dan lebih menilai kemampuan sesebuah gabungan untuk mentadbir negara.

Justeru, beliau menegaskan PN perlu membuktikan bahawa gabungan itu mempunyai pasukan kepimpinan, kepakaran dan hala tuju pentadbiran yang jelas.

“Nak ke Putrajaya ini dia tak boleh duduk dalam parti politik sahaja. Nak ke Putrajaya ini kita kena merakyatkan pergerakan dan perjuangan itu menuju ke Putrajaya,” katanya.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan