Terengganu, Malaysia

Muslimat Mahu Lebih Ramai Calon Wanita Di Terengganu

Muslimat Mahu Lebih Ramai Calon Wanita  Di Terengganu

DUNGUN – Dewan Muslimat PAS Terengganu perlu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Salamiah Mohamad Nor, berkata, kemampuan wanita Terengganu tidak seharusnya terhad kepada peranan sebagai penggerak jentera, malah perlu diberi ruang lebih luas untuk tampil sebagai wakil rakyat dan pemimpin di pelbagai peringkat.

Menurutnya, Terengganu ketika ini hanya mempunyai seorang wakil rakyat wanita, sedangkan negeri berkenaan mempunyai ramai tokoh Muslimat yang mempunyai pengalaman, kemampuan dan potensi untuk memikul tanggungjawab kepimpinan.

“Saya masih menunggu kalau-kalau ada peluang yang lain kerana wanita Terengganu bukan calang-calang orang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Muslimat (HIMMAT) 2.0 sempena Himpunan Teguh Memimpin Terengganu 2.0 di Dungun, semalam.

Salamiah menambah, pengalaman lalu juga membuktikan wanita Terengganu mempunyai kemampuan untuk bersaing apabila calon wanita pernah bertanding di peringkat DUN dan tewas dengan perbezaan kira-kira 500 undi sahaja.

Muslimat Mahu Lebih Ramai Calon Wanita  Di Terengganu

Katanya, keadaan itu menunjukkan wanita mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sekiranya diberikan ruang serta terus diperkasakan dari aspek ilmu, kepimpinan dan pengalaman politik.

Beliau turut mengambil contoh Kelantan yang mempunyai wakil rakyat wanita di Dewan Rakyat serta wakil wanita di Dewan Negara sebagai antara gambaran bahawa penglibatan wanita dalam kepimpinan politik boleh diperkukuh.

Dalam masa sama, Salamiah mengingatkan Muslimat supaya tidak melihat jawatan semata-mata sebagai ukuran kejayaan kepimpinan kerana pemimpin yang baik perlu sentiasa belajar, memperbaiki kelemahan dan meningkatkan penguasaan dalam bidang agama, pendidikan, teknologi, komunikasi serta pengurusan.

“Jangan kita beranggapan bahawa jawatan sudah cukup untuk menjadikan kita pemimpin yang hebat. Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang sentiasa mahu belajar memperbaiki kelemahan,” katanya.

Beliau menambah, usaha memperkukuh kepimpinan wanita juga perlu berjalan seiring dengan pembinaan pelapis supaya kesinambungan gerakan tidak terhenti apabila generasi sedia ada tidak lagi mampu memimpin.

Katanya, Muslimat bukan sekadar berperanan dalam organisasi, malah mempunyai tanggungjawab membentuk keluarga dan melahirkan generasi yang mampu meneruskan perjuangan serta memberi manfaat kepada masyarakat.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan