Terengganu, Malaysia

Ketua Bahagian, YDP Bukan Tiket Jadi Calon PRU16 – Dr. Fakhruddin

Ketua Bahagian, YDP Bukan Tiket Jadi Calon PRU16 – Dr. Fakhruddin

DUNGUN, 21 November – Jawatan sebagai ketua bahagian atau pemimpin parti tidak seharusnya menjadi tiket automatik untuk dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, pemilihan calon perlu mengutamakan kemampuan, pengalaman dan kelayakan seseorang untuk bekerja serta membawa aspirasi rakyat.

Menurutnya, kepimpinan parti perlu bersedia mengetepikan kepentingan jawatan dan memilih individu yang benar-benar berkemampuan untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Kadang-kadang kita rasa kita ketua bahagian, kita Yang Dipertua, samalah UMNO pun dia ketua bahagian.

“Kita rasa kita ketua bahagian, kitalah yang kena jadi calon, bukan orang lain jadi calon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Podcast Terang Bulan sempena program Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2.0 di Dungun, hari ini.

Podcast tersebut turut menampilkan Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Mengulas lanjut, Dr. Tengku Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, keutamaan parti sepatutnya diberikan kepada usaha mengetengahkan calon yang mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, bukannya sekadar mempunyai kedudukan dalam organisasi.

Beliau mengambil contoh pemilihan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Menurutnya, pemilihan tersebut menunjukkan bahawa pertimbangan terhadap pengalaman dan kemampuan calon perlu diberikan keutamaan berbanding kedudukan dalam hierarki parti.

“Kita letak calon di Bukit Katil. Kebetulan calon Bukit Katil datang, Ridzuan Sarif.

“Ridzuan Sarif bukannya ketua, Yang Dipertua PAS kawasan. Dia datang calon saat akhir.

“Tapi kenapa dia diletakkan parti menjadi calon? Kerana kita melihat kalau kita nak jadi kerajaan nanti, siapa yang boleh bekerja untuk rakyat? Siapa yang boleh ‘deliver’ kepada rakyat?” katanya.

Dr. Tengku Fakhruddin berkata, pengalaman kerjaya serta kemampuan seseorang melaksanakan tanggungjawab perlu menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan calon yang akan diketengahkan kepada pengundi.

Katanya, perkara tersebut penting kerana matlamat sesebuah parti bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi memastikan individu yang dipilih mampu menjalankan amanah selepas membentuk kerajaan.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan panel lain bahawa PN perlu melakukan persediaan lebih menyeluruh menjelang PRU16, termasuk mengenal pasti barisan calon yang mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara.

“Saya melihat kita kena bersedia meletakkan calon yang boleh membawa aspirasi rakyat dan membina negara ini.

“Sebab itu saya melihat, inilah perkara yang kita di peringkat parti kena lihat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa setiap keputusan pemilihan calon perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan keperluan pentadbiran negara untuk jangka panjang.

Katanya, kepercayaan rakyat tidak sepatutnya dianggap sebagai sesuatu yang boleh diperoleh hanya berdasarkan kekuatan parti atau kedudukan seseorang pemimpin.

Sebaliknya, calon yang ditampilkan perlu mempunyai keupayaan untuk bekerja dan menterjemahkan dasar serta tawaran parti kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya yakin dan percaya bahawa Perikatan Nasional melihat perkara tersebut.

“Kita nak supaya calon yang kita kedepankan nanti adalah calon yang mampu membawa aspirasi rakyat untuk kita menuju ke Putrajaya,” katanya.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan