Terengganu, Malaysia

Dulu Sukar Gerak Bersama, Kini Ahli Umno Pasang Bendera PN

Dulu Sukar Gerak Bersama, Kini Ahli Umno Pasang Bendera PN

DUNGUN, 21 November – Jika sebelum ini PAS Melaka menganggap kerjasama dengan UMNO sebagai sesuatu yang asing, suasana berbeza dapat dilihat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Ridzuan Sarif berkata, ahli UMNO bukan sahaja duduk semeja dengan PAS, malah turut membantu memasang bendera Perikatan Nasional (PN) dan berkempen bersama-sama.

“Kalau dahulu kita sukar bergerak bersama, kali ini – dan saya percaya jentera Terengganu sendiri dapat melihatnya – sokongan ahli-ahli UMNO sangat membanggakan kami.

“Kali ini kita bukan sekadar duduk semeja, bahkan menggantung bendera Perikatan Nasional bersama-sama, pergi dari rumah ke rumah, lorong ke lorong, bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Teguh Memimpin Terengganu 2.0 dan Sambutan 70 Tahun PAS Kawasan Dungun, malam tadi.

Ridzuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana Melaka menyifatkan perubahan itu sebagai hasil pendekatan penyatuan ummah yang dibawa oleh kepimpinan PAS Pusat.

Dulu Sukar Gerak Bersama, Kini Ahli Umno Pasang Bendera PNp

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan jentera PAS Terengganu yang ditugaskan membantu kempen di Bukit Katil, salah satu daripada dua kerusi yang ditandingi PAS pada PRN berkenaan.

Katanya, pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit jentera PAS Terengganu membuahkan hasil apabila beliau berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 6,607 undi.

“Pengorbanan ini tidak mampu kami balas, melainkan dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga,” katanya.

Ridzuan turut menyifatkan kejayaan PAS Melaka memenangi dua kerusi DUN serta diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan Exco, Timbalan Exco dan Timbalan Speaker sebagai satu catatan sejarah buat parti itu.

Beliau berharap kejayaan kerjasama politik di Melaka menjadi titik permulaan kepada kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan