DUNGUN, 21 November – Prinsip pembahagian kerusi dalam kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang dilaksanakan di Negeri Sembilan dan Melaka perlu turut dijadikan asas rundingan di negeri lain, termasuk Kedah, Kelantan dan Terengganu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara (Wawasan), Badrul Hisham Shaharin berkata, kerjasama kedua-dua gabungan itu tidak seharusnya menyaksikan mana-mana pihak bertindak sebagai ‘abang besar’ atau menuntut kelebihan berdasarkan kepentingan parti masing-masing.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, prinsip mengekalkan kerusi yang dimenangi penyandang atau ‘incumbent stay’ perlu dihormati secara konsisten, bukannya berubah apabila melibatkan negeri tertentu.
“Dalam gabungan dan perkara ini, jangan ada sikap abang besar.
“Formulanya hari ini, kalau kita tengok berdasarkan Negeri Sembilan, berdasarkan Melaka, ‘incumbent stay’.
“Tetapi bagaimana di Kedah, bagaimana di Kelantan dan bagaimana di Terengganu? Tiba-tiba Terengganu nak sekian-sekian kerusi dan sebagainya. Ini masalah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Podcast Terang Bulan sempena program Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2.0 di Dungun, hari ini.
Podcast berkenaan turut menampilkan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Dr. Tengku Fakhruddin Tengku Md Fauzi dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air, Mohamad Rafique Rashid Ali.
Mengulas lanjut, Chegu Bard berkata, rundingan PN-BN mesti dilaksanakan atas dasar kesepakatan dan keinsafan, bukannya menjadi medan perebutan pengaruh antara parti yang mahu bekerjasama.
Menurutnya, mana-mana pihak tidak boleh menggunakan alasan penyatuan ummah untuk menuntut kelebihan tanpa mengambil kira kedudukan serta kekuatan rakan kerjasama.
“Kerana itu saya bercakap dengan sahabat-sahabat UMNO, kawan-kawan ini, kita kena bermula kesepakatan ini daripada segi keinsafan.
“Kita kena duduk dan runding betul-betul. Tak ada siapa abang besar,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah gabungan politik tidak boleh diukur berdasarkan jumlah keahlian atau jentera parti semata-mata.
Katanya, majoriti rakyat Malaysia bukan ahli parti politik, justeru kepercayaan pengundi perlu menjadi pertimbangan utama dalam menentukan hala tuju kerjasama menjelang PRU16.
“Majoriti rakyat Malaysia sebenarnya hakikatnya ialah pengundi bukan ahli parti politik.
“Kena faham kekuatan Perikatan Nasional bukan sekadar jentera, tetapi pengundi bersama dengan kita.
“Kepercayaan rakyat ini, saudara, jangan buat main. Kita jangan perlekehkan rakyat,” katanya.
Chegu Bard turut menegaskan bahawa kestabilan politik perlu menjadi asas utama kerjasama PN-BN kerana rakyat sudah bosan dengan percaturan kuasa yang mengabaikan mandat pilihan raya.
Beliau berkata, rakyat mahu melihat sebuah gabungan yang benar-benar mampu memberikan kestabilan pentadbiran dan melaksanakan tanggungjawab kepada mereka.
“Rakyat nakkan kestabilan. Maka kita kena ada formula.
“Putrajaya ini tetap milik rakyat. Siapa yang benar-benar boleh memenuhi aspirasi dan mewakili rakyat? Rakyat rasa selamat dengan siapa? Rakyat rasa percaya dengan siapa?,” soalnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepimpinan parti yang terlibat dalam rundingan supaya tidak mempermainkan kepercayaan pengundi dengan meletakkan kepentingan politik mengatasi kehendak rakyat.
Katanya, keputusan pilihan raya sebelum ini membuktikan bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk menolak mana-mana kerajaan atau gabungan yang gagal memenuhi aspirasi mereka.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha penyatuan politik perlu disertai kejujuran, kesediaan berunding dan komitmen bersama untuk membentuk sebuah pentadbiran yang stabil.










