KUALA TERENGGANU – Pengukuhan dan pemantapan struktur dalaman parti terus menjadi keutamaan dalam usaha memperkasakan kekuatan jemaah, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Haji Ustaz Mohd Nor Hamzah menegaskan bahawa kekuatan sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada sokongan luaran, sebaliknya perlu bermula dengan asas dalaman yang kukuh melalui pemerkasaan tarbiah dan organisasi.
Menurut beliau, aktiviti tarbiah seperti usrah, tamrin dan program pengukuhan organisasi wajar dilaksanakan secara konsisten bagi membina kefahaman, kesatuan fikrah serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli.


“Disiplin, komitmen dan kepatuhan terhadap arahan organisasi adalah elemen penting yang tidak boleh dipandang ringan kerana tanpa nilai ini, gerak kerja parti akan menjadi lemah dan tidak tersusun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan serta Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd Nor turut mengingatkan bahawa persiapan menghadapi PRU-16 perlu dilakukan secara rapi dan terancang, dengan setiap jentera parti digerakkan secara berdisiplin, berakhlak serta berteraskan nilai tarbiah.
“Perjuangan ini bukan milik individu, tetapi amanah jamaah yang menuntut pengorbanan, kesabaran dan keikhlasan.


“Kita bukan sekadar mengatur strategi pilihan raya, tetapi menyusun langkah bagi memastikan kemenangan Islam serta membela nasib rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menyeru seluruh ahli agar terus memperkukuh saf, menyatukan hati dan istiqamah dalam perjuangan demi mencapai kemenangan yang diredhai Allah SWT.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa walaupun PAS kini mentadbir beberapa negeri termasuk Terengganu, gerak kerja di peringkat akar umbi perlu terus dipergiatkan secara lebih agresif.


Katanya, jentera parti perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan matlamat untuk memerintah negara dapat dicapai.
Dalam ucapannya, Mohd Nor turut mengajak ahli mengambil inspirasi daripada semangat perjuangan rakyat Palestin yang terus berjuang tanpa henti walaupun berdepan penindasan.
Beliau menambah, perjuangan PAS digerakkan atas tiga agenda utama iaitu siasah, dakwah dan tarbiah yang perlu dilaksanakan secara seimbang dan bersepadu.


“Jangan kita terlalu fokus kepada politik semata-mata sehingga mengabaikan dakwah dan tarbiah. Ketiga-tiga elemen ini saling melengkapi dalam memastikan kekuatan parti terus utuh,” jelasnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim serta Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk, Dr Ustaz Khalil Abdul Hadi.





























