KEMAMAN – Kerajaan PAS Terengganu telah menyantuni dan mengiktiraf jasa seramai 200 orang pekerja kebersihan di daerah ini melalui penyerahan sumbangan wang tunai serta keperluan asas sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti mereka kepada masyarakat.
Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata, inisiatif yang dilaksanakan di bawah Program Sumbangan Prihatin itu bertujuan meringankan beban ekonomi kumpulan sasar berkenaan, di samping menghargai peranan penting mereka dalam memastikan kebersihan serta kelestarian persekitaran sentiasa terpelihara.
“Tanpa komitmen, pengorbanan dan penat lelah para pekerja kebersihan yang bertungkus-lumus saban hari, amat sukar untuk rakyat menikmati persekitaran yang bersih, teratur dan selesa. Sumbangan ini merupakan satu tanda terima kasih pihak kerajaan terhadap amanah yang mereka laksanakan tanpa jemu,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan tersebut di sini, pada Selasa 10 Mac.
Dato’ Hanafiah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, memaklumkan bahawa melalui program tersebut, setiap pekerja menerima sumbangan kewangan tunai dan bekalan beras bagi menampung perbelanjaan harian keluarga masing-masing.


Dalam perkembangan berkaitan, pelbagai jabatan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi pengurusan sisa pepejal sedang giat menyelaras perancangan yang lebih komprehensif bagi memastikan aspek kesihatan, keselamatan pekerjaan dan kebajikan barisan pekerja sektor ini terus terjamin pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa orang awam agar sentiasa mengamalkan tanggungjawab sivik dengan memelihara kebersihan fasiliti awam serta melupuskan sisa pembuangan di tempat yang dikhususkan.
Kerjasama komuniti ini amat penting bagi melancarkan operasi harian di samping mengurangkan risiko keselamatan yang sering dihadapi oleh pekerja kebersihan di lapangan.



























