Perkhabaran Vaksinasi, Budaya Norma Baharu Tetap Perlu Diamalkan

237

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan beberapa minggu bagi membendung penularan covid-19. Namun begitu PKP mungkin tidak boleh dilanjutkan berpanjangan kerana akan memberi kesan yang amat buruk kepada ekonomi dalam kalangan masyarakat dan juga ekonomi negera. Seperti yang kita tahu, Negara kini mengalami kerugian RM2.4 bilion setiap hari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya juga menyatakan bahawa Kerajaan akan memulakan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia. Program vaksinasi COVID-19 yang melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama dijangka bermula pada hujung bulan ini.

Perkhabaran mengenai program vaksinasi ini tidak seharusnya dijadikan batu loncatan untuk mengabaikan peraturan dan norma baharu yang ditetapkan. Seperti yang dimaklumkan vaksin yang bakal diperoleh hanya akan mensasarkan 70 peratus sehingga 80 peratus daripada keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok dan ianya untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas. Imuniti kelompok adalah suatu keadaan di mana sebuah jangkitan tidak dapat memasuki atau menyebar dalam kalangan satu kelompok masyarakat apabila sebahagian besar anggota masyarakat diimunisasi dan terlindung daripada jangkitan.

Masyarakat harus sedar vaksin tidak bersifat menyembuh, sebaliknya bertujuan mencegah dan mengawal penyakit daripada menjadi lebih kritikal.
Antara matlamat imunisasi COVID-19 iaitu:
1. Melindungi barisan hadapan
2. Mengurangkan kematian
3. Membentuk imuniti berkelompok
4. Memutuskan rantaian jangkitan

Bersadarkan kenyataan Pakar Virologi dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar menyatakan bahawa risiko untuk mendapat jangkitan wabak berkenaan tetap ada walaupun seseorang itu telah disuntik dengan vaksin.

Realitinya, walaupun vaksin sudah diperoleh, virus akan terus kekal dalam masyarakat untuk satu tempoh tertentu sehinggalah imuniti kelompok diperoleh. Orang ramai masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan memandangkan proses vaksinisasi dan kadar untuk mencapai imuniti kelompok mengambil masa. Oleh itu, cara hidup kita telah berubah dan walaupun vaksin itu ada di tangan kita sekalipun, gaya hidup kita tidak boleh kembali seperti dahulu.

Apa pun, perkara penting yang perlu diketahui dan diterima masyarakat adalah corak kehidupan ketika ini dan pasca tempoh itu akan berubah. Kehidupan kita tidak akan sama seperti sebelum ini. Kita perlu amalkan norma budaya kehidupan baharu.

Mohammad Farhan Bin Shalahhudin
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi
Adun Belia Negeri Terengganu