500 Keluarga Terkesan PKP Terima Daging Segar

454

Oleh : Aminji

KEMAMAN – Seramai 500 keluarga di DUN Air Putih yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 telah menerima bantuan berbentuk ‘daging segar’.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Air Putih, YB Ab. Razak Ibrahim berkata, inisiatif ini diusahakan untuk membantu penduduk sekitar DUN Air Putih terjejas pendapatan.

“Sebanyak 500 bekas daging berjaya diagihkan kepada penduduk setempat.

“Agihan sebanyak satu kilogram bagi satu keluarga bermula petang semalam diharapkan dapat meringankan serba sedikit beban mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas penyerahan sumbangan tersebut kepada wakil Ahli Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK), pada semalam.

Menurutnya, majoriti penerimanya adalah daripada kalangan mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“Kita berharap semoga sedikit bantuan yang kita hulurkan ini dapat menghilangkan kegusaran ketua keluarga dalam menyediakan hidangan lauk kepada seisi rumah,” ujar beliau yang turut sama membantu dalam proses pembungkusan daging.

Justeru itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Syarikat Dr Daging, JPKK, Pemuda PAS, Muslimat dan Ameerah kerana bertungkus lumus membantu menjayakan program agihan sumbangan kali ini.