PAS Tidak Pernah Menindas Rakyat

138

KUALA TERENGGANU – Rakyat Terengganu diseru agar mengundi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana kerajaan yang dipimpin parti tersebut tidak menindas rakyat.

Menurut Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Ladang, Ustaz Kamal Ali, Imuan Islam Dr. Yusof Al-Qardawi berkata, antara tanggungjawab pemerintah adalah bukan sahaja, memastikan orang miskin tidak mengacau harta orang kaya, tetapi juga memastikan orang kaya tidak menindas orang miskin.

“Jadi saya rasa perkara ini tidak dapat dilaksanakan melainkan mereka yang memahami Islam dan dalam negara kita parti yang memang berusaha untuk hendak melaksanakannya tidak lain dan tidak bukan ialah parti PAS, ” tegasnya.

Beliau yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar berkata demikian ditemui di Pejabat MTD, Jalan Panji Alam, dekat sini berkata demikian hari ini.

Menurutnya, PAS membelanjakan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan pusat dengan baik, termasuk kata beliau, ketika berdepan suasana Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) 1.0 dan 2.0.

Parti Islam itu juga katanya, menggerakkan inisiatif mengumpulkan sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada mereka yang perlu dibantu.

“Peruntukan yang kita dapat untuk membangunkan DUN Ladang ini dari sudut fizikal antaranya ialah membaiki jalan-jalan yang rosak, membuat jalan-jalan yang baharu, kemudahan-kemudahan longkang dan juga di antaranya ialah membaiki rumah-rumah rakyat yang uzur.

” Disamping itu, kita juga membantu rakyat-rakyat yang miskin, walaupun kita tidak boleh membantu semuanya, tapi Alhamdulillah kita membantu sekadar mana kemampuan tanpa mengira latar belakang politik dan juga agama,” jelasnya.

Tambah beliau, PAS juga tidak ketinggalan memberi tumpuan aspek pembangunan insan yang menjadi satu modal yang sangat penting dalam membina rakyat negeri ini.

“Masjid dan surau adalah sangat penting maka semenjak PAS memerintah Terengganu ini, masjid-masjid dan surau ada kuliah- kuliah yang ditetapkan, ada kuliah-kuliah mingguan, harian dan kerajaan negeri telah membuat satu perjawatan yang dinamakan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT).

“Disamping itu, tambahnya lagi, usaha untuk mengembangkan ajaran Islam turut dilakukan dan juga mengajak rakyat supaya mengamalkan agama Islam sesuai dengan negeri yang Maju, Berkat, Sejahtera,” katanya.