SETIU – Tindakan pihak berkuasa tempatan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) musnahkan anak-anak pokok kelapa sawit di Kampung Fikri dekat sini, amat dikesali.
Seramai 30 orang peneroka tanah rentahan tetrsebut kesal kerana menurut mereka, usaha tanah terbiar itu secara ‘berkelompok’ dalam pengetahuan dan keizinan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Fikri.
Mereka mendakwa, urusan permohonan kelulusan tanah tersebut akan dibuat mengikut peraturan dan undang-undang kerajaan tempatan melalui JKKK berkenaan.
Namun begitu, mereka terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa PTG bersama 250 anggota PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Setiu dan lain-lain agensi terlibat dalam operasi memusnahkan tanaman mereka ada 22 Mei lalu,


Seorang penduduk terbabit, Donia Hasan, 55, rasa dukacita apabila usahanya menjadi sia-sia kerana tindakan pihak kerajaan itu.
Katanya, tanah yang direntah itu merupakan tanah hutan terbiar yang diusahakan secara berkelompok oleh 30 orang peneroka termasuk Pengerusi JKKK Kampung Fikri.
“Kami (penduduk) buat dahulunya tanah hutan terbiar dengan semak-samun dan buat secara berkelompok bersama dengan JKKK (pengerusi) Kampung Fikri ini.


“Kami semua telah berbelanja ribuan ringgit sejak dari awal membuka tanah hingga sekarang dan ini akan merugikan rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau, terpaksa menjual tanah pusakanya untuk mendapatkan modal bagi membangunkan tanah itu dengan tanaman kelapa sawit.


Katanya, rakyat yang susah mahu menambahkan pendapatan mereka dalam bidang pertanian wajar diberi sokongan kerajaan.
“Kami (rakyat) nak tumpang menanam sahaja. Sebab, tanah sendiri tidak ada dan kami buatlah secara berkelompok, ramai-ramai guna tanah terbiar kerajaan.
“Tapi, jika kerajaan hendak guna tanah itu semula untuk tujuan pembangunan kemudahan awam, saya tidak ada masalah…boleh beri (serah) balik tapi jika kerajaan nak beri kepada syarikat besar lain, kami bantah,” tegasnya.


Menurutnya, duit simpaanan yang dikumpul sekian lama telah ‘dilaburkan’ untuk membangunkan tanah seluas lima ekar itu dengan tanaman kelapa sawit bagi masa depan.
Sehubungan itu, Zakaria Jusoh atau dikenali Abe Ya, 60, merayu kerajaan tidak mengambil tindakan merampas kembali tanah yang diterokai itu.
Ini kerana, katanya tanah yang diterokai oleh rakyat sekadar lima ekar seorang sahaja dibuat secara berkelompok.


“Kami tahu dan semua orang di Setiu ini tahu ada orang yang ‘kebal’ undang-undang, mereka boleh ambil tanah-tanah kerajaan ini dengan jumlah yang besar.
“Kami tahu ada pemimpin dan bekas pemimpin yang tanam kelapa sawit atas tanah kerajaan ini ratusan ekar seorang, tapi tidak diambil tindakan.
“Rakyat yang hidup susah ini ambil guna tanah hanya lima ekar sahaja sudah diambil tindakan kerana menyalahi peraturan,” jelasnya.





























