Oleh : Rohayati Ripin
KUALA NERUS – Pelbagai isu kontemporari seperti Bank Susu, Kejuruteraan Genetik, Isu kecuaian Perawat dan lain-lain isu semasa perubatan telah dibincangkan dalam Persidangan Nusantara Isu-Isu Perubatan Menurut Perspektif Islam Kali Kedua.
Pengerusi Persidangan Dr Awisul Islah Ghazali berkata, persidangan kali ini telah berjaya menghimpunkan seramai 360 orang peserta dari negara-negara Malaysia,Thailand,Indonesia,Filipina dan Brunei dengan penyertaan berserta Bengkel Pra-Persidangan melebihi 500 orang.
“Persidangan kali ini turut membincangkan isu-isu seperti Kaedah Pemutusan Fatwa Di Dalam Islam, Sejarah Cendekiawan Perubatan Islam, Langkah-Langkah Menjayakan Hospital Patuh Syariah dan juga Aplikasi Maqasid Syariah Di Dalam Perubatan,


“Dan satu mesyuarat WMHU (World Muslim Health Union) peringkat Asia Tenggara turut diadakan dan laporannya akan diangkat ke Persidangan Antarabangsa yang akan diadakan di Istanbul pada penghujung tahun 2017,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di TH Hotel & Convention Centre Terengganu, Sabtu, 16 September, di sini.
Menurutnya, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Azman Abu Bakar telah diberi penghormatan untuk melancarkan PACe , iaitu satu modul Pertolongan Asas Bantuan Kecemasan bagi guru-guru pra-sekolah di Malaysia dan seterusnya merasmikan Persidangan Nusantara Isu2 Perubatan Menurut Perspektif Islam kali ke – 2.


“Kami merasakan komplikasi yang serius tersebut adakalanya dapat diatasi segera sekiranya guru-guru pra sekolah mempunyai asas pengetahuan dan amali yang baik di dalam Pertolongan Asas bantuan Kecemasan. Kami meyakini PACe adalah suatu modul yang dapat memberi input dan latihan ke arah itu,” ujar Dr Awisul.
Jelasnya lagi, ucaptama yang disampaikan oleh Dato Dr Azman adalah sangat informatif dan memberikan keyakinan bahawa Malaysia telah berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan tahap kesihatan penduduk di negara ini adalah antara yang terbaik di Asia Tenggara dengan kos yang munasabah bagi rakyatnya.


“Setinggi terima kasih juga kepada pihak media yang menjadi lidah sebaran kami dan di akhirnya kami mengharapkan para peserta akan mendapat ilmu yang bermenafaat daripada persidangan yang dianjurkan ini,”ucap beliau.




























