Apa Kaitan Poligami Yang Halal Dan Arak Yang Haram?

5229

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kuala Nerus menempelak bekas Menteri Umno Zaid Ibrahim kerana mengaitkan arak yang haram dengan poligami yang dihalalkan dalam Islam.

Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, tidak mungkin Zaid tidak tahu mana yang halal dan haram dalam agamnya sendiri.

“Arak tu haram. Berpoligami tu Halal. Kenapa nak kaitkan penentangan terhadap pesta arak dengan hak berpoligami.

“Itu kenyataan paling bodoh daripada seorang bekas menteri yang faham undang-undang,” tegasnya

Menurutnya, PAS menentang pesta arak kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat muslim yang menjadi majoriti rakyat Malaysia, bukan menentang hak bukan Islam minum arak.

“Ahli Parlimen DAP dan PKR tidak perlu pertahankan pesta arak. Sebagai pemimpin mereka bertanggungjawab melahirkan masyarakat berakhlak dan harmoni.

“Adakah pesta arak membantu membentuk akhlak yang baik. Apa jaminan 6000 orang yang berpesta minum arak sebagaimana sasaran penganjur ‘better beer festivel’ tidak mabuk,

“lalu disebabkan hilang akal mereka memandu dalam keadaan mabuk dan melakukan jenayah kepada orang lain akibat mabuk dengan pesta yang menghidangkan puluhan jenis jenama arak?.” soal Khairuddin.

Katanya, pemimpin bertanggungjawab menjaga rakyat yang tidak minum arak daripada ancaman jenayah para pemabuk akibat pesta arak.

“apa yang menyedihkan apabila pesta ini diharamkan oleh DBKL sebaliknya ada pimpinan DAP selangor pula menawarkan pesta arak di negeri Selangor,

“saya yakin rakyat Selangor tidak bersama mereka,” ujar Khairuddin.