Pasukan Perubatan Aid4Turkiye&Syria Ceriakan Mangsa Gempa

191

KUALA TERENGGANU – Kehadiran pasukan perubatan dan pergigian daripada Sekretariat Aid4Turkiye&Syria telah menceriakan mangsa gempa bumi Turkiye.

Ketua Delegasi Misi Bantuan Kali Kedua itu, Dr Suhazeli Abdullah berkata, terapi psikologi melegakan kesugulan mereka.

“Sekurang-kurangnnya kami dapat berinteraksi untuk membahagiakan mereka dan mengubat luka hati mereka yang penuh dengan trauma,” ujar beliau ketika dihubungi semalam.

Katanya, rombongan yang bertolak pada 7 Mac lalu dianggotai pakar perubatan dari Papisma, Persatuan Wanita ‘Afiyah, Warga Cakna, dan doktor pergigian dari Kelab Jelitawan Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah.

Tambah belia, jumpulan doktor itu dibantu oleh sukarelawan Dewan Ulamak dan Muslimat PAS Pusat serta anggota media KAMI dan wartawan radio Manis FM.

Dr Suhazeli yang juga Timbalan Pengarah 1 PAS Relief berkata, secara umumnya, mereka yang diduga ujian gempa itu bukannya golongan fakir miskin.

“Tetapi mereka adalah dalam kalangan sosio-ekonomi yang sederhana, namun akibat dari gempa bumi yang berlaku pada sebulan yang lalu mereka agak kebingungan untuk meneruskan kehidupan,

“Bayangkan sebelum daripada ini mereka hidup dengan penuh kemewahan, berada dalam bangunan yang kukuh dan mempunyai gedung-gedung perniagaan di wilayah Kahramanmaras,” jelasnya.

Namun dengan sekelip mata sahaja, ujar beliau, semua kesenangan hidup mereka ‘runtuh menjadi debu’ dan kini terpaksa tinggal dalam khemah sementara yang serba kekurangan.

” Duit di dalam bank mungkin ada, tetapi untuk membangunkan semula kehidupan yang agak sempurna, yang berada di rumah-rumah kekal mungkin mengambil masa lama.

” Mereka terpaksa hidup dengan ketidak-selesaan itu, hidup dalam khemah-khemah penempatan sementara dan makan makanan yang sekadarnya,” katanya lagi.