Pengerusi Tetap Muktamar PAS Pusat Dilantik Menjadi Senator

328
Haji Hussin Ismail (kiri)

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Tetap Muktamar PAS Pusat, Haji Hussin Ismail dilantik menjadi Ahli Dewan Negara dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ke-14 pada hari ini.

Keputusan suara terbanyak itu dicadangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sokong oleh ADUN Tepoh Ustaz Hishamuddin Abd Karim, selepas diumumkan Speaker DUN, Dato’ Yahaya Ali semasa persidangan berkenaan.

Pelantikan Presiden Yayasan Amal Malaysia itu berkuat kuasa pada Rabu bagi menggantikan Ustazah Nuridah Salleh yang telah tamat perkhidmatan.

Haji Hussin mendapat pengajian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu selama tiga tahun (1968-1970).


Selepas itu beliau melanjutkan persekolahan ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Alam Shah, Cheras sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia).

Ssemada menjadi mahasiswa, beliau sering menghabiskan waktu cutinya dengan berkhidmat di Institut Berakan (Ma’ahad Al-Ihkhwan) Kuala Terengganu.

Setelah tamat pengajian di ‘Menara Gading’, beliau memulakan kerjaya awal sebagai guru sains di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan kemudian meneruskan kerjayanya dalam bidang korporat.

Aktivis PAS itu pernah memegang pelbagai jawatan dalam dan banyak mencetuskan pembaharuan dalam gerakan Islam tersebut, antaranya mengasaskan penubuhan Unit Amal yang dikenali kini sebagai Jabatan Amal.