PAS Tegaskan Politik Bermoral, Kegagalan Kerajaan PMX

526

KUALA TERENGGANU – Naib Presiden PAS menegaskan bahawa parti itu berpegang teguh kepada prinsip politik bermoral dan menolak amalan menghalalkan cara untuk meraih kemenangan pilihan raya, berbeza dengan pendekatan yang pernah diamalkan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.

YB Datuk Ustaz Haji Idris Bin Haji Ahmad berkata, sepanjang tiga tahun pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan hari ini berada dalam keadaan “bulan madu” tanpa diganggu pembangkang.

Namun, rakyat mula sedar bahawa banyak janji yang pernah ditaburkan oleh PH ketika berkempen tidak ditepati, sekali gus menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan pengundi, terutamanya anak muda.

“Kita tidak bertindak seperti mereka hari ini, yang sering mengolah pelbagai alasan untuk menutup kelemahan.

“Ini bukan budaya politik kita, bukan cara kita, dan bukan prinsip perjuangan kita. Biarlah kita menang dengan cara yang bermoral dan berlandaskan prinsip yang benar.

“Kalau kita mahu sokongan rakyat, kita juga boleh janji macam-macam, contohnya turunkan harga petrol RM1. Tapi PAS tak buat sebab kita tahu kemampuan sebenar kewangan negara dan tak mahu tipu rakyat dengan janji kosong,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah perdana sempena Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu 2025 di kota Putera Square, Kampung Raja, pada Jumaat.

Menurut beliau, pengalaman membuktikan bahawa PAS mampu melaksanakan tawaran manifesto secara realistik seperti yang berlaku di Terengganu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, apabila semua janji yang diumumkan dapat ditunaikan walaupun berdepan kekangan royalti minyak.

Sebaliknya, kata Ustaz Idris, kerajaan pimpinan PMX hari ini gagal menunaikan janji utama mereka, termasuk pengisytiharan bahawa Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan Menteri Kewangan, namun perkara itu dilanggar sejurus selepas membentuk kerajaan.

“Kalau betul ‘gentlemen’ boleh bubarkan parlimen beri balik mandate kepada rakyat baru boleh tengok ukuran pada waktu itu.

“Rakyat semakin matang. Mereka boleh menilai, memuji atau mengecam mana-mana parti yang tidak menepati janji. Hari ini, kelemahan kerajaan menjadi bualan dari kedai kopi hingga ke Parlimen,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan Himpunan Turun Anwar 26 Julai lalu sebagai “loceng kesedaran politik” yang menandakan gelombang kebangkitan rakyat mula tercetus.

Sehubungan itu, Ustaz Idris menggesa jentera PAS dan Perikatan Nasional (PN) memperhebat usaha memberi penerangan berfakta melalui media sosial dan pertemuan masyarakat bagi memastikan rakyat celik maklumat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke -16.