Fokus Dakwah Dan Tarbiah Gen Z Demi Kelangsungan Perjuangan Islam

497
Ustaz Muhammad Nasrullah Kamaruddin

BESUT – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menegaskan bahawa usaha dakwah dan tarbiah terhadap Generasi Z perlu diberi perhatian segera bagi menjamin kelangsungan perjuangan Islam dan kesinambungan PAS pada masa hadapan.

Menurut wakil Pemuda PAS Terengganu Ustaz Muhammad Nasrullah Kamaruddin, Gen Z yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012 kini berdepan cabaran pemikiran liberal, pengaruh budaya hedonisme, normalisasi lesbian, gay, bisexual, transgender, queer, or questioning (LGBTQ) dan krisis identiti agama yang semakin membimbangkan.

Katanya, lebih memburukkan keadaan, mereka lebih terdedah kepada pempengaruh liberal dan kandungan digital yang merosakkan berbanding bimbingan ilmu agama.

“Gen Z adalah pewaris perjuangan Islam. Jika mereka tidak dibimbing dan ditarbiah dengan cara yang betul, musuh-musuh Islam akan terus mengambil peluang untuk memesongkan pemikiran dan hala tuju mereka,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Setiu berkata demikian ketika dihubungi hari ini, mengulas mengenai perbahasan perbahasan bertajuk Dakwah dan Tarbiah Gen-Z Menyelamatkan Masa Depan Gerakan Islam.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS menegaskan pendekatan dakwah terhadap Gen Z perlu lebih kreatif, menggunakan medium digital seperti TikTok, Instagram Reels dan YouTube Shorts dengan mesej yang menyentuh jiwa, bukan sekadar amaran azab.

Selain itu, modul tarbiah juga perlu menyentuh isu realiti semasa seperti kesihatan mental, tekanan hidup, hubungan sosial dan kerjaya agar lebih relevan dengan jiwa anak muda.

Justeru itu, beliau menyeru agar menyediakan ‘safe space’ dalam jemaah, melibatkan anak muda dalam kepimpinan parti dan menonjolkan ikon muda PAS yang dekat dengan dunia Gen Z bagi menarik minat mereka mendekati perjuangan Islam.

“Gen Z bukan generasi yang rosak, tetapi mereka sedang mencari makna hidup. PAS tidak boleh berdiam diri dan membiarkan mereka hanyut dalam arus pemikiran songsang,” tegasnya.