PAS Pertahankan Syuhada Memali

3552

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU: PAS tetap mempertahankan bahawa 14 orang mangsa tragedi pembunuhan di Memali pada 19 November 1985 itu syahid.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ulama’ PAS ketika itu telah membuat keputusan bahawa mangsa tragedi Memali itu adalah Syuhada.

Justeru, katanya semua mangsa korban peristiwa Memali itu telah diuruskan secara Syuhada.

“Kita (PAS) melalui ulama’-ulama’ kita termasuk ulama’ yang hidup pada masa itu, yang menyaksikan peristiwa Memali itu. Mereka sudah membuat keputusan bahawa mereka (mangsa) itu Syuhada dan diuruskan cara para Syuhada.

“Sebabnya, kerajaan telah bersalah dalam tindakan dia. Tun Dr Mahathir (ketika itu), sepatutnya hendak ditahan ISA, perlu melalui proses-proses dia. Kalau nak tangkap pun, komunis pun ada proses dia…kepung ke, apa dulu ke, Ini teruskan (tembak).

“Kemudian mereka (mangsa) ini tidak bersenjata dan nak kata dia tembak Polis, mana dia ada senapang?

“Kita (PAS) bermuzakarah membuat keputusan mereka yang mati itu adalah para Syuhada dan kita berterus terang pada masa itu. Saya minta dia (Mahathir) minta maaf atas terlanjur (cakap) dia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Sembang Santai Bersama Ayah Chik anjuran Ameerah dan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu di Taman Rekreasi Kuala Ibai, di sini, Sabtu 4 Mei.

Dato’ Seri Abdul Hadi, turut merujuk kepada huraian Hadis Nabi (Muhammad) SAW yang mengkategorikan beberapa bentuk kemalangan itu dinamakan syuhada.

“Ini kerana, Syuhada dalam Islam ini banyak. Dalam isu Memali ini sekurang-kurangnya kemalangan.

“Dalam Hadis Nabi (SAW), orang mati sakit taun adalah syahid, perempuan yang mati bersalin adalah syahid, mati dalam nifas adalah syahid, mati kemalangan jalan raya adalah syahid, kemalangan lemas air syahid, terbakar syahid, banyak syahid dalam Islam.

“Tidak salah, kita menganggap Ustaz Ibrahim Mahmud adalah Syahid. Apatah lagi beliau bertindak mempertahankan pandangan (agama) dia. Kerajaan salah menyerang tidak mengikut proses yang betul. Terang lagi bersuluh kita (PAS) dizalimi dalam isu (Memali) ini.

“Apa yang menarik, Almarhum Yang DiPertuan Agong, Sultan Kedah, Tuanku Sultan (Al-Haj) Abdul Halim Mu’adzam Shah pergi melawat kubur mangsa Memali. Baginda pergi ziarah dan siram air (mawar) di kubur para Syuhada Memali. Cuma yang degilnya seorang itu sahaja, orang lain faham belaka,” ujarnya dihadapan ribuan hadirin.

Peristiwa berdarah itu berlaku 33 tahun lalu ketika, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia dan diungkit kembali oleh Pengerusi Pakatan Harapan itu dalam ceramah terbaharunya.

Tun Dr Mahathir mendakwa, 14 mangsa korban dalam tragedi berdarah Memali di Baling, Kedah itu sebagai ‘mati katak’ dan bukan syahid kerana dikaitkan dengan Amanat Haji Hadi.