Calon Yang Ku Kenali; Haji Amzad, Ustaz Mad Shah, Wan Sukairi, Dato’ Ku Dan Ustaz Khalil

4411

Oleh : MNA

Secara peribadi saya menyediakan penilaian calon-calon PAS untuk PRU 14 ini sebagai gambaran kepada kejayaan mahupun sisi lain mereka kepada rakyat Terengganu untuk sama-sama kita mendekati mereka. Saya sangat yakin dan percaya bahawa barisan calon-calon PAS yang diketengahkan kali ini adalah yang terbaik kepada rakyat Terengganu dengan tema Maju, Berkat, Sejahtera.

P036 Kuala Terengganu Haji Amzad Hashim

Alumni SESMA ini pernah mengetuai syarikat perkapalan di Terengganu. Kepakaran beliau di dalam bidang kejuruteraan perkapalan, bukanlah kepakaran biasa. Saya difahamkan beliau juga mendalami kemahiran persenjataan. Setelah menyerahkan borang untuk menjadi ahli PAS pada program HARAP di Jabi beberapa tahun yang lalu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau terus aktif mempromosikan PAS secara langsung mahupun tidak langsung dalam pelbagai cara. Isu berkenaan masalah ‘draw bridge’ yang menyempitkan laluan kapal, antara yang menjadi perhatian beliau.

Salah satu kejayaan beliau ialah menghapuskan aktiviti lumba haram yang menjadi masalah kepada penduduk setempat di jalan Durian Burung, iaitu kampung halaman beliau, dengan kerjasama penduduk dan juga PDRM. Beliau juga aktif memperjuangkan nasib rakyat Terengganu dengan mendesak kerajaan pusat mengembalikan semula royalti minyak kepada Terengganu melalui NGO Royalti. Pernah dilantik menjadi Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat. Kami sering berjumpa di dalam mesyuarat penerangan negeri dan saya yakin beliau adalah salah satu daripada cantuman-cantuman ‘puzzle’ penting bagi kerajaan teknokrat di bawah pemerintahan PAS nanti.

N14 Bandar : Ustaz Ahmad Shah Mohamed

Saya mengenali beliau secara dekat, apabila kami pernah sama-sama berbual santai tentang politik. Beliau adalah lepasan jurusan agama dari universiti di Jordan. Dan juga memiliki sarjana. Sebagai seorang Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bandar, beliau telah berkerja memenangkan PR, sejak beberapa siri PRU yang lalu.

Dan sekarang beliau dan pasukan akan berkerja bagi mengambil kembali kerusi Bandar setelah diisytiharkan PAS akan bertanding di sini. Sijil sarjana yang beliau miliki pasti akan memberikan kekuatan tambahan kepada kerajaan teknokrat PAS nanti. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat dalam kerajaan PAS Terengganu di GLC, sudah pasti mempunyai pengalaman memerintah. Saya pasti beliau akan berjaya memancing hati pengundi Cina sebagai kumpulan penentu di bandar Kuala Terengganu.

N15 Wakaf Mempelam Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah

Seorang yang periang, senang didekati, mudah dalam membantu orang lain. Adik ipar kepada Ustaz Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Ulamak Melaka ini mempunyai isteri yang juga seorang doktor perubatan. Karier politik beliau sangat panjang bermula dari bawah, sehinggalah menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu. Dengan pengalaman beliau sebagai Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, insyaAllah akan memudahkan tugas-tugas penerangan nanti. Pastinya dengan bantuan bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga bekas Exco dan bekas wakil rakyat Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, akan memberikan kekuatan kepada beliau dalam mengharungi penggal pertama sebagai Adun insyaAllah kerana Wakaf Mempelam adalah kerusi selamat bagi PAS.

N16 Ladang Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar

Dato’ Ku, itulah panggilan yang biasa saya gunakan apabila memanggil beliau. Orangnya sangat kemas dalam menjalankan tugas dan tidak meninggi diri. Maklumlah bekas pegawai tinggi kerajaan Terengganu dahulu. Sangat berdisiplin, malah apabila di dalam sidang Dun, apabila Speaker mengarahkan beliau duduk, beliau tidak suka membantah kerana memahami bebanan kerja seorang Speaker. Sering mengenengahkan isu berkaitan pentadbiran, sesuai dengan kepakaran beliau. Sangat diperlukan dalam pentadbiran kerajaan Teknokrat PAS nanti atas pengalaman luas beliau selain daripada dihormati lawan dan kawan untuk mentadbir negeri. Suka menziarahi rakyat dengan motorsikal kecilnya.

N17 Batu Burok Muhammad Khalil Abdul Hadi

Pertama kali bertanding menggantikan wakil PAS yang belot dahulu. Belajar di banyak negara, antaranya Pakistan dan UK. Sering menulis dan mengulas berkenaan situasi politik dunia. Pernah beberapa kali dijemput berucap di forum-forum antarabangsa, menyerlahkan ketokohan beliau, mewarisi darah kepimpinan ayahandanya. Mudah diajak berbincang. Kehadiran beliau dalam senarai calon PAS Terengganu kali ini akan pasti memberikan kelebihan kepada PAS dalam menguasai undi anak muda. Ternyata kegagalan Umno memberikan tempat kepada Ketua Pemudanya setelah berkali-kali PRU, bagi mewakili suara orang muda, akan mengecewakan anak-anak muda mereka dan kita berharap kekecewaan itu diterjemahkan dengan mengundi PAS.