Muktamar Ke-67; Islam Menyatukan Umat

77

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Simbahan indah cahaya keperakan dipermukaan muara Sungai Terengganu yang bersejarah pada pagi perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 di Duyong Marina Resort Kuala Terengganu seperti menghantar isyarat, Parti Islam yang berusia 70 tahun ini akan menjadi sebagai pemain utama dalam politik tanahair ini. Di tengah jerebu pandemik kovid 19, muktamar tanpa pemerhati luar, tanpa wakil gerakan Islam luar negara, tanpa wakil NGO serta NGO ,tanpa jajaran gerai jual beli dan pameran. Segalanya menjadi asing dan nadir bagi kita ahli PAS kerana muktamar biasanya seperti hari raya bagi kita semua. Pakaian baru digayakan bersampin lengkap, jamuan kecil merayakan ukhuwwah,pertemuan alumni kampus bahkan alma mater yang lain.

Muktamar Kali ke 67 ini juga dengan jumlah petugas juga terhad, anggota Jabatan Amal juga mengecil, saringan kesihatan dibuat rapi agar tak muncul pasca muktamar ini, “kluster muktamar” yang akan dijadikan bahan untuk mentertawakan PAS,apatah lagi esok akan berlangsung kempen PRN Melaka. Walau bagaimana pun, himpunan 700 orang lebih pimpinan PAS pelbagai peringkat di Terengganu kali ini penuh dengan lonjakan semangat yang menggebu untuk melihat daripada dekat perjalanan acara tahunan yang paling berprestij kepada harakatul ummah ini. Sebelas lokasi lain untuk perwakilan negeri yang tidak hadir ke Duyong Marina Resort.

Muktamar adalah medan ukhuwwah yang mengikat tali hubungan antara pimpinan dan ahli, berbezalah pandangan namun ukhuwwah jangan dileraikan kerana prasyarat kemenangan Islam ialah ukhuwwahfillah. Jangan diletakkan kawan seperjuangan sebagai musuh akibat pertandingan dalam pemilihan dalam Muktamar. Robohnya ikatan ini akan menghantar gerakan Islam ke jurang berantakan yang akan menyirnakan kekuatan. Cukuplah perpecahan akibat sikap egois dan perpuakan dalam bahtera besar perjuangan Islam yang juga berlaku kepada gerakan Islam yang lain di luar negara.

Muktamar kali ke-67 ini juga dalam kondisi PAS kali kedua menjadi rakan kongsi pentadbiran Persekutuan dan juga menguasai tiga buah negeri jantung hati orang Melayu. Pimpinan PAS berada di pentas utama, ada yang menggalang jawatan Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan pelbagai jawatan strategik dalam memposisikan PAS sebagai pemain politik yang mempunyai variasi pengalaman.

PAS dengan keahlian yang pelbagai, juga dengan jalur berfikir yang rencam maka perbedaan pandangan bukanlah satu perkara yang pelik. Ditambah dengan fenomena budaya media sosial yang membuka ruang kritikan, ruang argumen seluas mungkin maka PAS menjadi subjek popular yang dibincangkan samada positif atau pun negatif.

PAS selain daripada menjadi subjek popular warga siber, juga tetap menjadi mandraguna stesyen TV, radio dan media cetak dizaman kerajaan pemuafakatan politik yang disertai PAS. PAS berada dalam koalisi besar pemuafakatan pentadbiran negara, dengan sedikit kesilapan sahaja maka akan menatijahkan kesan yang besar. Ucapan dan tulisan pimpinan PAS ditunggu dalam apa jua situasi untuk dilencongkan atau dimanfaatkan.

Muktamar PAS di zaman siber ini, bahkan zaman di serambi kuasa ini, walaupun jauh berbeda dengan puluhan tahun yang lampau, namun aspirasinya tetap sama iaitu membedah organisasi dalam tempoh penggal setahun. Muktamar bukanlah medan untuk mengampu pemimpin, mengkultuskan tokoh dan membina perpuakan , juga bukan medan membaling kerusi seperti yang terjadi kepada parti konvensional yang lain. Watak dan karektor PAS sebagai gerakan Islam tidak boleh berubah walaupun pendekatannya boleh luwes dan anjal.

Muktamar PAS bukan sahaja medium Presiden untuk mentarjih perjalanan harakatul ummah ini melalui ucapan dasar Presiden kali ini yang bertajuk ‘ Islam Menyatukan Ummah’ . Ruang ini juga para perwakilan akan menilai keupayaan pimpinan pusat yang telah mereka lantik pada muktamar lepas di Kuantan. PAS tidak pernah kekeringan kilang tajnid, ribuan kader dakwah pelbagai latarbelakang dengan fikrah Islam yang mapan. Jamaah ini tempat berhimpun insan yang cintakan perjuangan Islam bukan medan menumpuk harta kekayaan.

Muktamar juga adalah medan membedah organisasi melalui laporan muktamar, sejauh mana lujnah-lujnah berperanan yang melambangkan kompetensi seseorang pimpinan pusat mengurus amanah. Menjadi pimpinan bukan semata-mata dengan daya tarikan skill pengucapan awam tetapi kebijakan menggerakkan organisasi dan potfolio yang diamanahkan.

Muktamar kali ke-67 ini adalah muktamar terakhir sebelum PRU 15, juga sebelum PRN Melaka. Perwakilan mestilah melontarkan idea-idea yang baik, berseberangan idea dengan pimpinan bukanlah satu dosa digelanggang muktamar. Bahkan pemimpin yang tak kompeten serta menjadi beban pada jamaah wajar direhatkan jika sekiranya ada!. Berhujjahlah dengan penuh fakta dan berisi, bukan membazirkan masa pendengar yang sangat berharga.

Semoga usai muktamar ini, maka semangat serta energi kita bertambah dan pengaruh kita merambah, genggamlah tangan berpadu tenaga, berderapan kita melangkah gagah dijalan juang yang berkah ini.” Islam Menyatukan Ummah”, kitalah anak-anak panah Islam yang akan membumikankan ucapan dasar Tuan Guru Presiden, Kita sudah tak mampu untuk berbalah sehingga perpecahan akan memberikan ruang selesa kepada musuh yang tak pernah tidur mengintai potensi.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)