Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, beliau hanya mendapat RM300,000 setahun untuk dibelanjakan bagi program pembangunan dan untuk rakyat di Parlimen Marang.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 10 peratus atau RM30,000 adalah untuk Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi tujuan pembangunan di kawasan Marang.
“Saya tidak mahu orang salah faham kerana peruntukan itu bukan disalurkan terus ke akaun Pegawai Pembangunan Parlimen, sebaliknya ke akaun JPP.
“Jadi, sebarang peruntukan yang diluluskan itu akan dituntut kepada JPP dan bukannya saya kerana mereka yang bertanggungjawab menjaga akaun itu,” katanya.
Sebagai pegawai yang bertanggungjawab, katanya, beliau menjadi pemudah cara dan memberi peruntukan kepada rakyat melalui program turun padang yang dijalankan di kawasan Parlimen ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang, Alias Abdullah agar peruntukan pembangunan Parlimen disalurkan ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Alias berkata, ia bagi membolehkan usaha memperkasakan parti dan membantu rakyat dilaksanakan secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, berbeza dengan setiap DUN yang memperoleh peruntukan daripada Kerajaan Negeri, pihaknya memperoleh peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk sebarang aktiviti dan program yang menyokong kerajaan.
“Saya tidak berhak dan tiada kuasa untuk mengagihkan wang itu kerana sebarang kelulusan adalah daripada JPP.
“Sebagai pegawai yang bertanggungjawab menjaga Parlimen ini, saya banyak menggunakan peruntukan itu untuk menambah baik infrastruktur demi keselesaan rakyat seperti membaik pulih surau dan rumah penduduk serta adakan aktiviti anjuran jabatan berkaitan atau sekolah serta projek kecil.
“Saya harap penjelasan ini dapat menjawab sebarang persoalan yang ditimbulkan kerana saya tidak mahu ada orang salah faham mengenainya,” katanya kepada Sinar Harian