PAS Terengganu Tolak Kajian Umno

620

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/07/rifindraman.JPG– Nisbah 1 : 40 Pendaftaran Pengundi Tidak Mewakili Pantai Timur
KUALA TERENGGANU
– PAS Terengganu menolak kajian Umno tentang nisbah pendaftaran pengundi Melayu dan Bukan Melayu serta menyifatkan ia adalah satu helah Umno bagi menakut-nakutkan orang Melayu.

“Kita tidak pasti sama ada ia menyeluruh atau tidak dan tidak pasti ia betul atau sebaliknya, tetapi saya percaya ia mungkin kajian di kawasan Lembah Klang, di mana negeri-negeri di sebelah sana jumlah penduduk bukan Melayu adalah tinggi,

“di Pantai Timur, khususnya Terengganu dan Kelantan berbeza kerana bukan Melayu di negeri ini sedikit berbanding Melayu,” kata Ariffin Deraman, Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu.

Menurutnya nisbah yang dikeluarkan Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO itu adalah suatu perbandingan yang sangat ‘melampau’ tinggi dan diragui kesahihannya.

Oleh itu, beliau berpendapat ia mempunyai maksud tertentu, untuk menyerang pemikiran orang Melayu atau menakut-nakutkan orang Melayu sebagaimana ‘nada’ yang sentiasa di dendangkan oleh Umno sebelum ini.

“Nisbah itu terlalu ‘extreme’, biasanya kalau sesuatu kenyataan begini dibuat, ia adalah satu propaganda Umno untuk menyerang pemikiran (orang Melayu),”jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan Negeri Terengganu adalah antara negeri tertinggi menerima pendaftaran pemilih baru terutamanya dikalangan golongan muda.

Ariffin  berkata, kejayaan itu adalah hasil gerak kerja yang dijalankan olej Jabatan Pilihanraya PAS negeri dengan kerjasama Pembantu Pendaftaran Pemilih yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN)

“Kita sedang menjalankan usaha memastikan pengundi baru membuat pendaftaran pemilih dari masa ke masa dan perkembangan ketika ini memberangsangkan berbanding negeri lain.

“Kita tiada nisbah tertentu tetapi Terengganu adalah antara yang tertinggi menerima pendaftaran baru,” katanya ketika dihubungi.Buletinonline

Menurutnya, kesedaran di kalangan golongan muda melaksanakan tanggungjawab mendaftar sebagai pemilih amat memuaskan dan PAS sentiasa membantu SPR dalam mendaftarkan pengundi baru.

Menyentuh komen Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mengakui lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas PRU 2008,  Ariffin berkata, DAP menyedari apa yang perlu dilakukan bagi memastikan rakyat Malaysia mendaftar seramai mungkin.

Katanya, Umno tidak perlu mempolitikkan tindakan DAP tersebut kerana ia sejajar dengan matlamat Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihanraya umum yang ke 13 nanti.

“Ia juga sesuai dengan hasrat PAS dan PKR  dalam Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya pada pilihanraya umum yang ke 13 akan datang,”jelasnya