Landasan Apa, Landasan Mana?

276

Bila ada MB tidak diperkenankan sultan, ada parti mengamuk. Berkelahi dengan istana. Ada yang sampai sultan negeri itu, bernazar tidak mahu bercukur janggut baginda.

Kadangkala bila ada parti yang berbalah kerana kuasa, sampai habis imuniti raja kena tarik. Kata orang sekarang, bukan kaleng-kaleng kalau berkelahi sampai tahap sebegitu.

Ada juga kes sanggup digelarnya tuanku ‘binatang’ kerana bukan main lagi angin naik satu badan kerana tidak diperkenankan kuasa untuk dia memerintah.

Ehh, jangan lupa, sampai ada yang sanggup menabalkan sultan baharu di bawah pokok ketereh atau jambu golok atau gajus. Sebab geram kuasa terlucut dari gengaman.

Ada juga yang sanggup melompat, bagi kesejahteraan rakyat katanya. Bukan sekali, malah berkali-kali. Padahal kesejahteraan diri. Sebab rakyat tak nampak disejahterakan, tapi dia dan keluarga.

Ada yang ugut untuk buat undi tidak percaya untuk katuhkan negeri partinya sendiri kerana sangat marah dirinya diturunkan pangkat dari jawatan tertinggi negeri. Bahkan mencari musuhnya yang dahulu untuk diajak berpakat merampas negeri.

Bila kapal mereka dipukul ribut yang kuat, tidak kurang yang terjun mencari jalan senang konon mahu pergi ke kapal lain. Ada yang selamat, ada yang lemas. Semua itu kerana tidak mahu bertahan dalam kesusahan. Sudah berada dalam zon selesa, maka keluar darinya bukanlah suatu yang didambakan.

Semua yang berlaku di atas, jelas bukan dari jemaah kami. Kami ketika mendapat kemenangan, kami berkumpul dan bersyukur sujud kepada Allah. Kami menunggu arahan pimpinan, siapa yang akan menjadi ketua negeri. Bila kalah, kami lawan lagi. Serik? Tak, tak pernah kami rasa serik.

Jika kami dititahkan membantu bekas musuh kami yang amat kami benci dahulu sekalipun, kami taat dan patuh, walau menitis air mata menahan hati yang luka. Ini semua kerana ada hal umat yang lebih perlu dielakkan berbanding perasaan kami.

Jika diumumkan kami tidak mendapat sebarang kerusi untuk bertanding, tetapi pula mesti turun berkerja membantu rakan, maka kami laksanakan dengan hati yang tenang, walaupun sebagai manusia biasa ada merasa sedikit kecewa.

Kami tidak dibenarkan menjadi gila kuasa yang akhirnya memecahkan tembok yang amat perit untuk dibina. Pengalaman kami telah membuktikan, akibat daripada apa yang dipanggil rakan sepakatan yang cuba bergerak sendiri dan mahu menjadi taiko dalam pasukan, pakatan itu hancur berkecai. Agree to disagree, tinggal kata-kata sahaja tanpa dilaksana.

Ada pihak yang ketika berkuasa, penuh tangan mereka dengan nanah dosa dan noda pemerintahan. Salah guna kuasa dan sebagainya. Mereka tahu, tapi buat tak tahu. Dan kemudian mereka dihumban keluar dari ruang keselesaan oleh rakyat. Mereka jatuh, sakit dan merana. Sangat pedih akibat hasil perbuatan mereka sendiri.

Namun, ketika perlahan-lahan dibantu oleh orang yang baik, mereka semakin berjaya dan akhirnya mereka mula mendabik dada. Bagi mereka, kuasa utama mestilah setiap masa, hak mutlak mereka atas kerana majoriti. Mungkin buakan dan didihan hati mereka tidak tertahan lagi untuk dibendung, walau sekadar dua tahun lagi sebelum PRU 15.

Seruan supaya mari kita kembali kepada landasan perjuangan kita semula. Landasan apa tuan? Landasan mana? Landasan sebagaimana yang dinyatakan di atas? Landasan itulah yang menjadi kebencian rakyat.

Silakan kembali ke landasan tuan, jika itu yang dihajati dan dipercayai sebagai tonik bagi merebut semula kuasa dan kemudiannya ditendang rakyat kembali. Bagi kita, landasan kita adalah jalan yang lurus yang Allah perintahkan kami melaluinya.

Mungkin akan menjadi sia-sia kepada rakyat yang menyokong kerana setelah berperang di Sabah, menghabiskan jutaan wang rakyat, kemudiannya pula rakyat dihadiahkan kes Covid 19 yang semakin meningkat dan perikatan yang berjanji mahu membantu mereka juga berpecah kerana gila kuasa.

Pastinya humbanan rakyat kali ini, jika mereka mengamuk, akan mencampakkan politikus kebencian mereka jauh ke hujung dunia. Apa pilihan yang rakyat ada? Gembiralah kembali komunis dan kuncu-kuncunya.

Kami pula, tidak penat kalah, kerana kuasa bukan matlamat kami dan kami bukan dari kalangan yang duduk dalam kekuasaan. Semenjak dahulu, kami sentiasa kalah. Matlamat kami ialah akhirat, walaupun kami bukan manusia yang sempurna. Akan tetapi kami cuba kerana kami tahu, Allah memerhatikan kerja-kerja kami.

Mohd Nasir Abdullah
2 Oktober 2020
KLIA, Malaysia