Perkukuh Istiqamah, Tingkat Gerak Kerja, Lipat Ganda Peranan DHPP

52

KUALA TERENGGANU – Memperkukuh istiqamah perjuangan, meningkatkan gerak kerja dakwah dan melipatgandakan peranan pendukung bukan Islam dalam memperluaskan sokongan masyarakat menjadi keperluan utama di bandar ini.

Ketua Urusan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kuala Terengganu, Alex Chan Foo Yew berkata, kekuatan sebenar parti bukan diukur melalui kejayaan lalu, sebaliknya keupayaan untuk terus kekal teguh membawa agenda Islam dalam masyarakat.

“Banyak peringatan dan amanat penting yang perlu dijadikan panduan dalam perjuangan.

“Kekuatan sebenar bukan terletak pada kemenangan yang telah dicapai, tetapi bagaimana kita terus istiqamah mempertahankan dan memperkukuh perjuangan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-51 PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyah, Kuala Ibai, hari ini.

Menurut beliau, pendekatan Dan ikhtiar PAS perlu berasaskan tiga teras utama iaitu dakwah sebagai kekuatan, tarbiah sebagai asas pembinaan, dan siasah sebagai medan pelaksanaan dasar.

“Kemenangan bukan alasan untuk selesa, sebaliknya amanah yang menuntut lebih banyak pengorbanan dan kerja keras,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menekankan peranan DHPP untuk terus memainkan peranan mendekati masyarakat, khususnya golongan muda, selain memperkukuh hubungan spiritual melalui amalan ibadah seperti tahajjud, dhuha, al-Quran dan sedekah.

“Perjuangan ini bukan tentang siapa yang paling hebat, tetapi siapa yang paling istiqamah berkhidmat demi Islam dan rakyat,” ujar beliau.