KUALA KANGSAR – Selepas Hutan Simpan Rambai Tujuh yang terletak kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Chandang dikesan terlibat dengan pembalakan ‘haram’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, satu lagi kawasan tadahan yang melibatkan Hutan Simpan Bubu di Dun Manong juga telah ‘dinodainya’.
Tinjauan Skuad Buletinonline mendapati Hutan Simpan Kekal Bubu itu terletak di kompartmen 29 seluas 131.0 hektar yang ditanam sejak tahun 1971 dan 1972 dengan pokok hutan jenis meranti dan keruing.


Ini kerana, kata mereka hasil hutan yang bernilai puluhan juta setiap tahun itu dikhuatiri hilang begitu sahaja.
Encik Mohd Radzi Mat Sidek, 55, menggesa agar kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) lebih beramanah menjaga harta rakyat.
Kata beliau, kawasan hutan simpan yang mempunyai khazanah hasil bernilai jutaan ringgit itu tidak sepatutnya dicerobohi tanpa pengawasan pihak berkuasa.
“Saya tidak buat tuduhan melulu tetapi penduduk di kawasan (Manong) ini hingga ke Ulu Kenas, Lempor, Ara Panjang, Ketior dan lain-lain tahu pembalakan berlaku di situ.


“Kawasan (hutan) ini tidak sepatutnya dicerobohi oleh pembalakan kerana itu kawasan tadahan yang menjadi sumber air kepada penduduk dan rakyat,” ujarnya.
Namun, katanya aktiviti mengeluarkan kayu balak tersebut telah terhenti seketika sejak hampir dua bulan lalu.
Menurutnya, aktiviti pembalakan itu dilakukan oleh pihak terbabit hanya beberapa bulan dalam setahun sejak beberapa tahun lalu.
“Mereka (pembalak) ini pandai, dibuat beberapa bulan dan berhenti. Kemudian buat lagi beberapa bulan, bila orang bising…senyap (berhenti) sekejap.
“Ini (berhenti) baru dua bulan. Dia buat dua tiga bulan…dikeluar balak itu, dia diam. Lima enam bulan selepas itu dia (pembalak) datang balik dan berterusan sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya.
Katanya, pihak-pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Perhutanan Negeri, agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat setempat seperti tidak nampak apa yang berlaku itu.
Seorang penduduk di Kampung Cheh, Mohd Zaki Ahmad mahukan kerajaan negeri lebih tegas dalam menjaga dan menguruskan khazanah rakyat.
Beliau turut mengakui tahu mengenai isu pembalakan di Hutan Simpan Bubu yang terletak di Dun Manong tetapi meragui status ‘halalnya’.
“Jika berlaku pembalakan secara haram, kita (rakyat) minta kerajaan lebih tegas mendakwa pihak yang menceroboh khazanah hutan simpan itu.
“Jika kerajaan tidak tahu berlaku pembalakan itu, maknanya Umno-BN yang diberi mandat oleh rakyat telah gagal dalam menjaga amanah negeri.
“Pada pilihan raya (PRK) P067 18 Jun ini, rakyat (pengundi) di Dun Bukit Chandan dan Dun Manong tidak wajar lagi mengundi calon BN. Ini tanda protes rakyat kepada kerajaan,” jelasnya.
Bahkan, katanya lebih malang lagi kawasan pembalakan tersebut difahamkan dilakukan oleh pihak luar dan bukan orang tempatan.


Malah, aktiviti pembalakan juga sedang rancak berlaku di kawasan Hutan Simpan Kledang Sayong dan mengikut papan tanda yang ditemui di kawasan itu lesen pembalakan dikeluarkan pada 1 Mac 2016 dan tamat pada 30 September 2016 ini.
Namun begitu, aktiviti pembalakan tersebut dipercayai telah dihentikan seketika kerana PRK Kuala Kangsar.




























