Pecutan Terakhir, PAS Kekal Atas Landasan

941

KUALA KANGSAR – PAS cukup yakin dengan kekuatan dan kesungguhan ahlinya dalam melaksanakan gerak kerja sehingga kini dalam usaha mereka merampas semula kerusi Parlimen Kuala Kangsar daripada Umno pada Ahad 18 Jun ini.

Demikian keyakinan yang diluahkan oleh Pengarah Kempen dan Penerangan PRK Kuala Kangsar Ustaz Misbahul Munir Masduki, ketika diminta memberikan pandangan beliau terhadap perjalanan gerak kerja PAS ketika ini.

Beliau menjelaskan, pada awalnya ada sedikit kekeliruan yang berlaku, namun hal itu dapat diatasi dengan segera sekaligus dapat kembali bersaing dan merancakkan kembali kerja-kerja PRK.

Ketika ini kata beliau lagi, sekarang ini ialah gelombang keempat iaitu gelombang terakhir dan tumpuan dilebihkan bagi memenangi hati pengundi target, yang telah dikenalpasti bagi memenangi PRK ini.

“Persiapan di Kuala Kangsar sekarang ini pada gelombang yang keempat iaitu gelombang yang terakhir, dimana dalam pecutan yang terakhir ini, ia fokus kepada pengundi-pengundi sasaran, pengundi-pengundi target.

Dan alhamdulilah gerak kerja kita telah berjalan dengan lancar, kerjasama dari negeri-negeri pembantu dan juga kawasan-kawasan pembantu, cukup baik di setiap UPU.

Walaupun kita ada sedikit masalah diperingkat awal, menyesuaikan mungkin suasana, situasi orang kampung, tapi Alhamdulillah, cukup baik dan dalam pemantauan yang saya buat, kerjasama cukup baik, gerak kerjapun cekap,” terang beliau.

IMG_20160615_160510Beliau ditemui ketika selesai majlis berbuka puasa penduduk kampung di UPU Senggang bersama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man di Dun Bukit Chandan, kelolaan PAS Kawasan Kemaman.

Hadir sama ialah Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kangsar Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman Ustaz Alias Abdul Hamid dan Adun Chukai Kemaman, Terengganu Haji Hanafiah Mat.

Tambah Ustaz Misbahul lagi, tinjauan secara rawak yang dilakukan menunjukkan sokongan rakyat terhadap kempen yang dijalankan, cukup baik dengan menonjolkan isu-isu semasa termasuk isu RUU 355, ramai yang ingin tahu dan berpuashati dengan penjelasannya.

Malah ujar beliau lagi, ramai dikalangan orang cina yang ditemui, tidak menolak PAS secara total, walaupun pelbagai cara digunakan oleh musuh PAS bagi menjauhkan pengundi bukan Islam daripada PAS.

Ditanya berkenaan pendekatan Politik Matang dan Sejahtera, beliau menjelaskan ianya sudah lama diamalkan oleh PAS, tetapi baharu sekarang ini, ia ditekankan sebagai asas berkempen dimana PAS memujuk ahli Umno dan tidak mencari titik perbalahan.

Jelas beliau lagi, dengan memahami bahawa semua pengundi ialah sasaran PAS, termasuk ahli-ahli Umno, maka tidak perlu menimbulkan isu yang menjauhkan mereka dengan PAS kerana apa yang perlu ialah menerang kepada mereka kerana PAS mahukan undi mereka.

Menceritakan pengalaman beliau, beliau pernah menemui seorang bekas Setiausaha Umno Bahagian yang mempunyai keluarga yang besar secara terang mengatakan dia tetap Umno, tetapi benci dengan keadaan budaya politik Umno sekarang.

Beliau yakin golongan seperti inilah yang mudah dipujuk bagi menyokong PAS seterusnya mengajak untuk bersama dengan PAS.

Mengulas isu yang sama, Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kangsar, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss turut memuji perjalanan kempen yang diuruskan oleh petugas-petugas PAS yang bagi beliau, sangat lancar, bagus dan tersusun.

Lebih mengembirakan beliau ialah sambutan yang diberikan oleh masyarakat terhadap kempen-kempen bagi menonjolkan calon adalah yang terbaik setakat ini berasaskan komen-komen daripada media dan juga pengundi-pengundi.

Ditambah dengan penekanan Budaya Politk Matang dan Sejahtera dalam kempen kali ini, ianya menepati kehendak dan disenangi pengundi dengan sajian akhlak yang baik dan ilmu daripada petugas-petugas PAS.

“Komen daripada media, komen daripada pengundi-pengundi bukan melayu, pengundi melayu sendiri, mereka amat selesa dengan calon yang kita ketengahkan dan dengan budaya kempen yang kita laksanakan ini, menepati apa yang ditekan oleh Presiden.

Iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera, yang kita tidak memberikan satu kaedah-kaedah yang tidak baik, menekankan tentang akhlak, menekankan tentang ilmu, meruapakan satu strategi kempen yang sangat disenangi oleh kawan dan lawan.

Dan inilah juga yang saya katakan, pilihanraya bukan hanya sekadar untuk memilih pemimpin, tetapi untuk mendidik masyarakat dan juga rakyat itu sendiri,” ujar beliau yang juga bertindak sebagai Pengurus Kempen bagi Dr Najihatussalihah.