Allah telah menentukan kedudukan Dunia Islam berada di tempat-tempat yang sangat strategik dari sudut geografi politik. Terusan Suez yang menghubungkan antara Laut Mediteranian dan Laut Merah, Bab Al-Mandab yang menghubungkan antara Laut Merah dan Lautan Hindi, Selat Hormuz dan juga Selat Melaka.
Sejarah telah membuktikan bahawa agenda Barat untuk memecah belahkan umat Islam terus berlaku. Setelah kejatuhan Khilafah Islamiyyah yang berpusat di Turki dunia Islam dipecahbelahkan kepada negara-negara kecil melalui perjanjian Sykes-Picot dan perjanjian Balfour.
Hari ini kuasa Barat terus melaksanakan polisi pecah perintah terhadap Dunia Islam di atas nama perang menentang keganasan yang sebenarnya ialah perang untuk mengekang kebangkitan Islam. Strategi untuk memetakan semula Dunia Islam sedang rancak berlaku samaada di Syria, Iraq, Yaman, Libya dan lain-lain lagi.
Perkembangan yang berlaku di Yaman mutakhir ini dilihat menjurus ke arah untuk memecahkan Yaman kepada dua bahagian. Bahagian pertama di sebelah utara yang sekarang dikuasai oleh Qabilah Huthi yang berpegang dengan Mazhab Syiah Zaidiyyah. Bahagian kedua di sebelah selatan yang berada pada kedudukan yang sangat strategik iaitu Teluk Eden atau Bab Al-Mandab yang mempunyai kepentingan yang sangat strategik kepada kuasa Barat.


Amerika Syarikat dan Rusia berlumba-lumba untuk mengambil peluang apa yang berlaku di Yaman ketika ini bagi memenuhi agenda masing-masing. Negara-negara Teluk dilihat sebagai proksi AS adapun Iran pula dilihat sebagai proksi Rusia.
Perlu ditekankan juga musibah yang berlaku ini bukan sahaja dari sudut perancangan musuh-musuh Islam tetapi isu yang lebih besar ialah perpecahan yang berlaku sesama umat Islam. Firman Allah Taala ini mesti diambil pengiktibaran bersama:
“ Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib satu kaum melainkan kaum itu merubah nasib mereka sendiri “ ( Ar-Ra’ad: 11 )
Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia
23 Feb 2015






























