Kesatuan Umat Tunjang ‘Keluarga Malaysia’

856

Oleh : Ir. Ts. Hj. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

Penyatuan ummah yang diimpikan ialah perpaduan dalam kalangan umat Islam dan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk, tidak ekstrem. Perpaduan yang berpegang kepada tasawwur Islam yang jelas, lebih luas dan memahami realiti semasa. PAS bukan parti yang dicatur oleh pihak berkepentingan dan menjadi anak tangga untuk memenuhi agenda anasir tertentu. PAS bergerak sebagai agen pendamai pelbagai pihak dan penyelamat untuk umat seluruhnya.

Oleh sebab itu, jangan berdilema. Jangan hanyut dengan kefahaman sendiri. Bersabar dalam mengikut nakhoda jamaah dan kepimpinannya. Tan Sri Tuan Guru Presiden telah menegaskan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional adalah seperti dua tangan dalam satu jasad. Kalau dibuang salah satunya akan menjadi cacat. Kita berpegang pada tali Allah, tidak mahu bercerai berai. Peliharalah nikmat bersaudara ini.

Dalam Ucapan Dasar Presiden di Terengganu lalu, beliau telah menyatakan dengan jelas. Konsep penyatuan ummah adalah berteraskan kepada tiga prinsip utama. Pertama, orang mukmin mesti bersikap adil kepada semua walaupun terhadap musuh. Kedua, perpaduan umat merujuk kepada sebuah keluarga besar yang berbilang kaum dan agama. Ketiga, Islam (pemimpin beriman dan amal soleh) mesti memimpin manusia bagi menunaikan kewajipan berpolitik.

Realiti masyarakat majmuk menuntut kita untuk memperkukuh Muafakat Nasional dan mempertahan Perikatan Nasional. Pembentukan gagasan politik yang lebih luas, bukan hanya PAS dan UMNO sahaja, diwakili oleh parti-parti komponen lain yang berbilang kaum serta agama serta patuh kepada Perlembagaan. Inilah citra politik yang ideal. Dalam konteks ini, PAS bukan sekadar penumpang sebaliknya pemimpin bersama koalisi yang lain untuk membantu rakyat dengan prinsip Islam.

Usaha menyatukan umat bukan tugas mudah. Kita memerlukan kesungguhan, jiwa besar, sabar, tekun dan toleransi. Kita wajib mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 dengan usaha perpaduan ini. Tidak berpecah hanya kerana melampias kepentingan diri dan dendam kesumat yang akhirnya akan mengulangi mimpi buruk keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Sepanjang pengalaman berkhidmat sebagai ahli dan pimpinan, Insya-Allah tidak wujud keraguan atas perjuangan ini. Tindak tanduk PAS sentiasa diawasi dengan suluhan Islam dan ijtihad yang kuat. Nakhoda PAS telah meletakkan panduan yang jelas. Janganlah wujud segelintir pemimpin yang terlebih sudu, menambah kekeliruan yang tidak perlu.

Kita teruskan bekerja. Bukan hanya sekadar menulis. Suka diingatkan semula ucapan Presiden PAS, “Untuk mendapat jaminan paling kuat bagi menegakkan konsep kepimpinan Islam yang berprinsip, maka PAS wajib berusaha sekurang-kurangnya menjadi penentu dalam keputusan PRU-15, berasaskan jumlah kerusi yang menang, bukannya banyak jumlah kerusi yang bertanding tanpa kerusi yang dimenangi”.

Insya-Allah, kita serahkan mandat kepada Majlis Syura Ulamak dan PAS Pusat untuk meneliti dan membuat keputusan dalam urusan berkait hukum, dasar dan strategi bagi mendepani pilihan raya kelak dan segala kemungkinan selepas pilihan raya, demi memastikan Islam terus memimpin, bukan dipimpin.

Saya sendiri telah menegaskan dalam ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-62 di Negeri Sembilan bahawa Penyatuan Ummah ini tidak sempit antara PAS dan UMNO semata-semata.

Bahkan PAS akan tetap konsisten berjiwa besar menyeru UMNO dan BERSATU serta pemegang taruh yang lain seperti NGO dan NGI Islam yang menerima prinsip perpaduan ini untuk membentuk satu Gagasan Penyatuan Ummah yang gergasi bagi membangunkan negara ini ke arah Negara yang berdaulat dan mendokong syariat Islam.