Umno: Rumah Yang Dicabut Paku Lantai

104

Imam al-Ghazali RH menegaskan:

الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ، وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Al-din (Islam) itu menjadi asas dan kuasa pemerintahan yang berdaulat (politik) menjadi pengawas. Apa-apa yang tiada asasnya, maka runtuhlah, dan apa-apa yang tiada pengawasnya, maka hilanglah.” [Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, hlm. 128]

Islam yang dianut oleh bangsa Melayu adalah sempurna dan berkuasa memerintah berkonsepkan Raja Berperlembagaan yang ditadbir bersama oleh para ulama’ dan umara’. Pemerintahan ini berkonsepkan ali-din (Islam yang sempurna) daripada Allah Pencipta alam. Segala ajarannya dipelihara dan diamalkan dengan sempurna, sehinggalah ia dihapuskan apabila tanah air umat Islam mula dijajah.

Betapa eratnya hubungan Melayu dengan Islam sehingga kedua-dua perkataan ini dianggap seperti perkataan yang seerti. Hal inilah yang menyebabkan penjajah gagal memurtadkan orang Melayu.

Maka, umat Islam diwajibkan berjuang meninggikan Islam sehingga berkuasa, sepertimana firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama (termasuk ideologi) meskipun orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]

Demikian juga, wajib adanya kumpulan Islam atau parti Islam yang berjuang sehingga berkuasa. Firman Allah SWT:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]

Di Malaysia, ada dua parti Islam dan Melayu Islam yang berjuang menentang penjajah sehingga merdeka, iaitu parti Islam (PAS) dan parti Melayu Islam (UMNO).

PAS dalam Fasal 5 perlembagaannya menegaskan:

Tujuan PAS ialah:

1. Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.
2. Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Adapun dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO pula, dinyatakan bahawa:

FASAL 3 ASAS DAN TUJUAN

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan Negara.

3.1 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kedua-dua petikan ini menunjukkan bahawa asas atau dasar perjuangan UMNO tidaklah berbeza dengan PAS dari segi kedudukan Islam pada dasarnya. Bahkan, UMNO dan PAS berjaya bersama-sama meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. PAS juga pernah bekerjasama dengan UMNO dalam isu yang mengancam kedudukan Islam, bangsa dan keselamatan negara.

Adapun perbezaan antara PAS dengan UMNO hanya berlaku dari segi pentafsiran dan pendekatan.

Sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menyatukan kumpulan Arab bagi menegakkan Islam sehingga berjaya memerintah negara. Maka, kita juga wajib menyatukan Melayu Islam.

Allah mewajibkan kumpulan Islam bersatu kukuh seperti satu bangunan yang disusun daripada batu atau kayu yang digabungkan dengan ikatan yang kukuh. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِهِۦ صَفّٗا كَأَنَّهُم بُنۡيَٰنٞ مَّرۡصُوصٞ ٤

“Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang berjuang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” [Surah al-Saff: 4]

PAS dan UMNO sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan dan meletakkan Islam serta umat Islam memimpin kuasa politik. Walaupun berkhilaf dalam beberapa perkara, kedua-dua parti ini bersatu dalam perkara dasar dan perkara yang melibatkan kepentingan umat Islam dan negara. Malah, beberapa kerjasama pernah berlaku antara PAS dengan UMNO dalam isu yang melibatkan dasar Islam dan keselamatan negara.

Keadaan berubah apabila dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), PAS memperolehi banyak kerusi di beberapa negeri dan mempunyai paling banyak kerusi di Parlimen. Namun, UMNO menolak tawaran kerjasama bersama PAS atas alasan PAS lebih kuat daripada UMNO, dan ada yang beranggapan PAS akan membunuh UMNO. Tiba-tiba, parti bukan Islam pula yang mengangkat UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran dalam keadaan UMNO tidak mempunyai kedudukan yang kuat.

Jika dilihat dalam lipatan sejarah, PAS pernah berada dalam Kerajaan Campuran 1974 pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak dalam keadaan PAS masih lemah. Almarhum Tun Abdul Razak sedia menguatkan PAS dengan memberi kerusi dan jawatan Exco di setiap negeri, serta memberi peluang kepada PAS untuk berada dalam kabinet. Malah, PAS juga dibenarkan bergerak di pusat-pusat pengajian tinggi dan bersama dalam kementerian dan jabatan kerajaan.

Alasan yang diberikan UMNO terkini iaitu PAS akan membunuh UMNO adalah tidak benar. Dalam sejarahnya, kerjasama dahulu berjaya memperkasakan Islam secara berperingkat dan menghapuskan kegiatan penjajah dalam jabatan kerajaan.

Apa yang dilakukan sekarang, UMNO sedia meninggalkan asas Islam dan Melayu, laksana mencabut paku lantai kerana bekerjasama dengan parti liberal seperti PKR dan parti yang melampau sekularnya seperti DAP kerana mahukan kedudukan, bukan kuasa dalam kerajaan.

Tindakan ini melemahkan pegangan UMNO kepada dasar perjuangannya laksana mencabut paku lantai Islam dan Melayunya supaya masuk angin dari bawah, tidak cukup dengan angin melalui jendela yang terbuka. Sehingga menyebabkan UMNO berpenyakit dan semakin lemah.

Apabila paku lantai dicabut, maka lantainya banyak yang terbuka lalu masuk angin dari bawah rumah yang berpenyakit dan menambahkan lagi kelemahan UMNO.

Ramai dalam kalangan UMNO yang menjadi bisu terhadap gejala negatif dan kemungkaran kerana lemahnya semangat Islam dan Melayu bumiputera mereka yang telah dihanyutkan oleh konsep liberal masyarakat majmuk. Keadaan ini terjadi kerana ingin menjaga kedudukan yang sedang berpijak di atas lantai yang lemah dan bergoyang akibat dicabut paku lantainya.

UMNO hilang kehebatan Islam dan Melayunya dalam kalangan mereka yang anti-Islam, dan melemahkan semangat Islam dan Melayu sehingga kumpulan lain pula berani membuat kenyataan anti-Islam secara terbuka tanpa halangan. Bahkan, mereka berani mencabar kedudukan Islam dan berusaha melemahkan pengaruh politik bangsa Melayu Islam dan bumiputera.

Hal ini termasuklah keberanian beberapa pihak untuk menganjurkan aktiviti yang merosakkan akhlak dan melemahkan pegangan agama atas nama kebebasan kebudayaan tanpa memikirkan batas agama dan adat Melayu, serta adat kaum lain yang berasal dari Timur, bukan adat budaya asing. Atas nama pelancongan, dibebaskan budaya asing tanpa mengira halal dan haram, yang di luar daripada konsep pelancongan yang sepatutnya menonjolkan keaslian adat dan budaya kita yang tidak sama dengan mereka.

UMNO terpalit dalam perkara negatif yang berlaku kerana salah memilih kawan, laksana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّما مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ، والْجَلِيسِ السَّوْءِ، كَحَامِلِ المِسْكِ، ‌وَنَافِخِ الكِيرِ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ: إمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وإمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً.

“Sesungguhnya, perbandingan orang yang bersama orang yang soleh (beragama dan berakhlak) dan bersama orang yang jahat, laksana mendekati pembawa bauan harum (kasturi) dan tukang besi. Jika bersama pembawa bauan harum, nescaya disapu bauannya yang harum kepadamu atau kamu membelinya atau kamu dapat mencium baunya yang harum. Adapun tukang besi, sama ada terkena percikan bara apinya yang membakar pakaianmu atau mencium bau yang busuk.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zaba’ih wa al-Said, no. 2101 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no. 2628, daripada Abu Musa al-Asy‘ari]

UMNO sepatutnya melakukan muhasabah dan kembali ke pangkal jalan apabila tersalah.

Ada kalangan pemimpin UMNO dan ahlinya yang keluar daripada rumah kerana tidak tahan dengan angin yang masuk melalui celah lantai rumah yang renggang dan dari bawah rumah.

Akibatnya tidak boleh dibiarkan merebak kerana kuasa politik umat Islam sudah semakin melemah, apabila UMNO memberi kuasa kepada banyak parti kecil bagi menubuhkan kerajaan campuran. Keadaan ini meminggirkan Islam dan politik orang Melayu sebagai kaum asal yang mendominasi penduduk.

Apabila orang Melayu bersuara membangkitkan haknya, mereka dianggap rasis (bersifat perkauman). Adapun apa yang dilakukan oleh pihak lain pula, dianggap sebagai kebebasan bersuara.

Allah mewajibkan umat Islam bersatu dengan berpegang kepada agama bagi meninggikan Islam, bukan semata-mata untuk bertakhta dan berharta. Umat Islam diharamkan berpecah belah disebabkan urusan keduniaan yang melemahkan mereka. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا لَقِيتُمۡ فِئَةٗ فَٱثۡبُتُواْ وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرٗا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ٤٥ وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٤٦

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung! (45) Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah! Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar. (46)” [Surah al-Anfal: 45-46]

Allah melarang mendapatkan kemenangan bersama musuh Islam dan umatnya. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ ١١٨ هَـٰٓأَنتُمْ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡ‍ًٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ ١٢٠

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-henti (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya. (118) Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman’, dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), ‘Matilah kamu kerana kemarahanmu itu.’ Sesungguhnya, Allah mengetahui segala isi hati. (119) Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya, Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (120)” [Surah Ali ‘Imran: 118-120]

Ada kalangan yang menunjukkan ketidaksetiaan terhadap agama, bangsa dan negara secara terbuka dan halus, sehingga mengundang pengaruh penjajahan politik, ekonomi dan sosial tanpa hala tuju untuk memperkasakan kedaulatan negara dan umat. Keadaan ini menyebabkan negara mudah dicatur oleh kuasa asing yang bersaing, dan ditembusi serangan pemikiran yang meruntuhkan akhlak lalu tunduk kepada nafsu kebendaan yang diberhalakan.

Firman Allah SWT:

وَإِذَآ أَرَدۡنَآ أَن نُّهۡلِكَ قَرۡيَةً أَمَرۡنَا مُتۡرَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيۡهَا ٱلۡقَوۡلُ فَدَمَّرۡنَٰهَا تَدۡمِيرٗا ١٦

“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah selayaknya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” [Surah al-Isra’: 16]

Berlakunya kelemahan apabila berpijak di atas lantai yang tidak kuat khususnya apabila meninggalkan al-din, yang menjadikannya tidak istiqamah.

Kini, UMNO berpijak di atas lantai yang bergoyang dan ditembusi angin setelah melemahkan dasar Islam dan Melayunya, laksana rumah melayu yang dicabut paku lantainya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 19 Zulqa‘dah 1447 / 7 Mei 2026

[Bil: 32 / 2026]