Rumah Bangsa : Gagasan Besar Atau Sekadar Retorik Politik?

22
YB Ustaz Mohd Fadhli Rahmi

DUNGUN – Gagasan “Rumah Bangsa” yang pernah diangkat sebagai simbol penyatuan Melayu , atau hanya sekadar retorik politik susulan krisis yang tercetus di Negeri Sembilan.

Timbalan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli mempersoalkan idea yang dibawa oleh UMNO itu, yang dilihat pada awalnya mampu menjadi wadah penyatuan yang dinanti-nantikan rakyat.

“Dengan perkembangan ini, gagasan “Rumah Bangsa” kini dilihat berada di persimpangan — sama ada ia akan menjadi realiti penyatuan yang sebenar, atau sekadar tinggal sebagai slogan politik yang tidak bererti,” tempelaknya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN Rantau Abang itu berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, dalam suasana politik yang berpecah, harapan terhadap satu platform kukuh untuk menyatukan orang Melayu bukanlah sesuatu yang kecil.

“Namun, situasi terkini menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan dan hala tuju sebenar gagasan tersebut, tindakan UMNO yang dilihat cenderung bekerjasama dengan pihak yang sebelum ini menjadi lawan politik menimbulkan persoalan tentang konsistensi prinsip perjuangan parti itu,” katanya.

Katanya, pemerhati politik turut mempersoalkan sama ada UMNO benar-benar komited untuk bergerak secara solo seperti yang sering dilaungkan.

“Terdapat kebimbangan bahawa naratif “solo” hanya akan digunakan menjelang pilihan raya, sebelum kembali kepada kerjasama politik selepas itu,” ujarnya dalam keraguan.

Beliau turut mengingatkan Umno bahawa rakyat kini semakin bijak menilai, mereka bukan sahaja mendengar janji dan slogan, tetapi turut memerhati tindakan yang dizahirkan oleh parti politik.

“Kepercayaan rakyat tidak boleh dibina dengan kata-kata semata-mata, sebaliknya memerlukan keteguhan prinsip dan konsistensi dalam tindakan, ” tegasnya lagi.