Oleh : Salam Muhammad
Si Keris telanjang……Sudah 70 tahun usiamu. Hingga saat ini engkau masih bertelanjang. Pulanglah ke dalam damai sarung cendanamu. Mari kita kembali kepada adat dan adab santun Melayu. Adat bersawah turun sekampung. Adat berbicara di tengah rumah. Kuat bukan pada mulut. Kuat letak pada hujah.
Ketika engkau terselit di pinggang penjajah, sudah jelaskah segala perjanjian? Apa erti Islam agama rasmi Persekutuan? Kenapa tidak didokumenkan bahawa Islam bukan sekadar agama pertabalan Sultan, agama nikah kahwin dan agama tentang solat dan puasa Ramadhan?
Kini, apabila sudah dewasa anak merdeka, mata menyaksikan Islam sebenarnya tidak bebas untuk dilaksanakan. Apa erti Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sedangkan untuk ditegakkan syariah yang syumul, keizinan para kafirun mesti didapatkan. Sekali lagi; terangkanlah kepadaku, apa sebenarnya tafsiran Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Si Keris telanjang……Apakah Engkau sebenarnya tertipu? TIDAK. Engkau sebenarnya rela ditipu. Malah hari ini engkau menipu pula anak dan cucu-cicitmu. Sebagaimana 70 tahun engkau rela bertelanjang tanpa berusaha mencari kembali sarung pusaka itu.
Atau…..Memang sahaja dasarmu menjual agama. Rasa hebat terselit di pinggang bangsat penjajah. Maafkan andai kata-kataku ada pedih bicara. Berikut aku persembahkan untuk engkau membuat penilaian; bertemankan waras akal dan luhur budimu, sepotong duka yang terpahat di Perlembagaan negara.
Perlembagaan Malaysia juga dikenali sebagai
Konsep ketinggian Perlembagaan adalah seperti berikut:-
•Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi;
•Menjadi punca kepada semua undang-undang;
•Tidak ada sebarang institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan;
•Semua undang-undang tidak boleh berlawanan dengan Perlembagaan;
•Mahkamah mempunyai kuasa membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh Parlimen jika bertentangan dengan Perlembagaan.
Si Keris telanjang……Duka yang ku maksudkan ialah ummah ini bukan diikat oleh 5 rukun Islam. Kita menjadi pelapik 5 tiang hukum syaitan. Hukum Allah terbatal oleh hukum syaitan? Hukum syariah dipijak oleh hukum penjajah?
Justeru, kembalilah kepadaku. Bersarunglah kerana akulah sebenarnya sarung pusaka berukir di teras cendana; yang menjaga bisa dan hebat lok-lokmu. Kita adalah mata berlok dan sarung peninggalan pahlawan Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong dan semua ulama pembela agama. Kembalilah. Kita akhirkan segala sengketa. Mari membasuh segala dosa.