Kerajaan Pulau Pinang Perlu Perjelas Keputusan Cadangan Penjualan Tanah BKIP2

584

Bila aku tulis pasal DAP Pulau Pinang semalam, ada yang bisik. “Tengok sikit skandal projek Batu Kawan Industrial Park”. Rupanya ada cerita menariklah kat projek ni.

Hasil carian, aku jumpa perkara yang sangat mengejutkan. DAP kan kononnya parti yang sentiasa bercakap pasal integriti. Kerajaan Pulau Pinang pulak berbangga kononnya amalkan CAT (Competency, Accountability & Transparency) dalam urusan pentadbiran.

Tetiba jumpa banyak perkara yang bercanggah dengan apa yang mereka dok sebut.

Okey cerita dia macam ni. Kerajaan Pulau Pinang melalui syarikat miliknya Penang Development Corporation (PDC) nak bangunkan Batu Kawan Industrial Park 2 Fasa 1 (BKIP2) dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM3.5 Billion di Byram, Batu Kawan.

Dia pun carilah sapa nak diberi kontrak tu. Cari punya cari kat Malaysia tak jumpa. Dia pi sampai Dubai Expo jumpa syarikat Umech Construction Sdn Bhd yang berminat nak majukan BKIP2 ni dengan jaminan pelabur dari timur tengah.

PDC pun dengan cara runding terus bersetuju melantik Umech Land Sdn Bhd (syarikat yang memiliki pemilik saham sama dengan Umech Construction).

Ketika dalam proses nak tandatangan perjanjian dengan Umech Land Sdn Bhd (syarikat yang memiliki pemilik saham sama dengan Umech Construction).

Dua hari sebelum mereka tandatangan perjanjian usahasama tu, tiba-tiba Sunway Group beli 70% saham Umech Land Sdn Bhd dengan harga RM23.33 Juta.

Haaa kat sini dah timbul tanda tanya macamana Sunway Group boleh tahu dan cepat-cepat beli saham Umech Land Sdn Bhd.

Ada kawtim belakang ker?

PDC selepas tandatangan perjanjian, terima deposit RM64.6 juta daripada Umech Land Sdn Bhd dan baki RM581.42 juta akan diselesaikan dengan 4 kali pembayaran ansuran.

Bila perkara ni diketahui umum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PDC dikecam teruk.

Pertama sebab terdapat perkara yang diragui apabila Sunway Group beli saham Umech Land 2 hari sebelum majlis tandatangan perjanjian, kedua proses perolehan runding terus dan ketiga adalah harga yang ditawarkan RM26.53 per kaki persegi.

Menurut Prof P Ramasamy bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, kawasan tu masa dalam keadaan semak samun pun penilaian harga dia adalah RM45 per kaki persegi.

Jadi macamana boleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang jual tanah tu dengan harga RM646 Juta atau RM26.53 per kaki persegi dibawah nilai pasaran?

Maka disebabkan kena kecam teruk, PDC pun batalkan perjanjian tu, pulangkan deposit dan bersetuju nak buat tender terbuka.

Okey kat sini aku nak komen sikit mengenai pemilihan Umech Land Sdn Bhd untuk memajukan BKIP2.

Korang tahu tak syarikat Umech Land Sdn Bhd ni dimiliki oleh 2 individu,

Karen Cheng Pui Kwan (1,400,000 saham)
Nathaniel Rajakumar (600,000 saham)
Syarikat ni dikatakan akan bayar RM 646 Juta untuk memperolehi tanah bagi membangunkan BKIP2 sedangkan hasil semakan syarikat ini mengalami kerugian bersih tanpa ada pendapatan selama 5 tahun berturut-turut seperti berikut:
2023: Pendapatan 0, kerugian -RM246,767
2022: Pendapatan 0, kerugian -RM126,501
2021: Pendapatan 0, kerugian -RM40,514
2020: Pendapatan 0, kerugian -RM11,654
2019: Pendapatan 0, kerugian -RM4,618

Aku terfikir macamana Kerajaan DAP Pulau Pinang dan PDC boleh buat pemilihan secara runding terus dan pilih syarikat ni untuk menjalankan projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM3.5 Billion? Takde pendapatan 5 tahun berturut-turut kot.

Mana proses “due diligence” korang? Semua dalam Lembaga Pengarah termasuk Pengerusi iaitu Ketua Menteri sendiri jadi tunggul kayu main luluskan je ker kertas cadangan ni?

Masa nak batalkan perjanjian dengan Umech Land, Ketua Menteri kata syarikat tu jual saham tanpa maklum kepada PDC, sebab tu mereka batalkan. Dah tu, bab latarbelakang syarikat tu, kedudukan kewangan dia yang teruk macamana?

Sekarang kita cakap pasal tender terbuka yang Kerajaan Pulau Pinang buat. Pada bulan 8 Februari 2024, PDC telah buat tender terbuka dengan nilai RM38.60 per kaki persegi yang merupakan harga pasaran selepas dinilai semula.

Haaaaa korang tengok kat sini, betulkan apa Prof Ramasamy sebut. Kalau takde orang kecoh, dah lama tanah tu lesap dengan harga RM26.53 per kaki persegi.

Hasil proses tender terbuka ni, Konsortium 3 syarikat diketuai oleh IJM Berhad sebuah syarikat public listed, menawarkan bidaan tertinggi RM818 Juta melebihi harga ditetapkan RM780Juta. Harga ditawarkan juga RM179 Juta lebih tinggi dari harga ditawarkan oleh Umech Land.

Tetiba tanpa sebab Kerajaan Pulau Pinang batalkan proses tender terbuka tu, walaupun nilaian yang ditawarkan oleh konsortium diketuai oleh IJM Berhad ni melebihi penilaian semasa.

Bila ditekan, baru Ketua Menteri jawab dalam sidang Dun, disebabkan runding terus dengan Umech Land tu dibatalkan, Kerajaan Negeri yang beli tanah melalui pinjaman bank, terpaksa tanggung bayaran pinjaman bank yang tinggi.

Dah kalau kau batalkan dan buat proses tender semula, sapa nak bayar kos pinjaman bank?

Hmmmm….apa punya gaya menguruslah DAP Pulau Pinang ni. Kelam kelibut. Akhirnya yang rugi adalah Kerajaan Negeri dan rakyat.

Pada aku dah tiba masa SPRM masuk dan siasat PDC dan keseluruhan proses perolehan melibatkan runding terus (walaupun dah dibatalkan), dan juga tender terbuka yang dibatalkan sekali lagi, kerana ini melibatkan kerugian dana awam yang jumlahnya sangat tinggi.

DAP dah berkali-kali buktikan mereka gagal mentadbir Negeri Pulau Pinang dengan baik.

Kalau tak pandai urus negeri dan bina industrial park, boleh pi belajaq dengan MB Sanusi dan tengok macam mana dia urus Kulim Hi-Tech Park.
Uncle Ketua Menteri jangan sombong, orang sombong selalu lugi maaa…..

Salam Hormat,

Ir. Ts. Nurul Islam Mohamed Yusoff