KUALA TERENGGANU – Lebih 6,000 seluruh jentera di setiap peringkat daripada negeri, kawasan hingga ke cawangan disasar hadir ke Himpunan Muslimat Terengganu (HIMAT) sebagai langkah memperkukuh perpaduan dan semangat juang dalam kalangan muslimat menjelang cabaran politik akan datang.
Menurut Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, YM Ustazah Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, program ini merupakan medan penting untuk menyemarakkan kesatuan hati dan fikrah antara kepimpinan dan jentera muslimat negeri.
“Saya menyeru seluruh muslimat, Ameerah dan ahli keluarga yang bergelar muslimat agar hadir ke HIMAT 1.0.
“Pastikan mereka tahu bahawa satu himpunan besar sedang berlangsung di Kemaman yang sangat bermanfaat untuk pengukuhan dakwah, tarbiyah dan siasah kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.
Menurutnya, program akan turut diserikan dengan kehadiran pimpinan utama muslimat termasuk Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia Ustazah Hajah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman dan Naib Ketua DMPNT dan juga ADUN Ladang YB Hajah Zuraida Md Noor.
Menambahkan kemeriahan, peserta juga berpeluang menyertai cabutan bertuah sepanjang program.
Justeru itu, beliau menyeru kepada rakyat Terengganu agar hadir beramai-ramai dalam program HIMAT 1.0 yang bakal berlangsung pada 30 Mei 2025 di Padang Astaka, Cukai, Kemaman.
Dengan tema “Teguh Memimpin”, HIMAT 1.0 diharap menjadi titik tolak kepada kebangkitan dan penyatuan wanita mukminah seluruh Terengganu untuk terus beristiqamah dalam perjuangan menegakkan amar makruf nahi mungkar di negeri ini.