Kerajaan Mesti Hukum ‘The Star’

1977

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu mengutuk sekeras-kerasnya akhbar The Star atas sikap biadab dan tidak tahu menghormati umat Islam di Malaysia kerana menyiarkan gambar yang disifatkan tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

Ketua Penerangannya YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, gambar sekumpulan orang Islam yang sedang menunaikan solat jemaah dengan tajuk muka depan yang mengaitkan Islam dengan keganasan, jelas mengelirukan pembaca.

“bukanlah kali pertama berlaku, pada tahun 2006, disiarkan gambar Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bersebelahan dengan gambar iklan arak,

“pada tahun 2011 pula, The Star tanpa ada rasa hormat, telah menyiarkan iklan hidangan masakan berasaskan babi dan menawarkannya sebagai hidangan berbuka puasa oleh sebuah restoran yang tidak mempunyai sijil halal,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Tidak puas dengan itu, kata beliau, pada tahun 2015, akhbar itu kembali menyemarakkan kemarahan umat Islam dengan menyiarkan iklan minuman keras di muka depan akhbar mereka.

Justeru itu, PAS Terengganu mendesak kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenakan hukuman yang maksimum kepada akhbar tersebut, atas beberapa kesalahan yang hampir sama yang telah dilakukan.

“Amat malang bagi rakyat Malaysia jika pengurusan The Star dibebaskan lagi kerana rakyat Malaysia memerlukan kerajaan yang tegas dan tidak mahu kepada penghasut agama seperti The Star.

“Seseorang mesti dipertanggungjawabkan atas kejahatan ini apatah lagi sudah beberapa kali The Star memilih Ramadhan sebagai waktu pilihan mereka menyebarkan onar ini,” ujar beliau.