ALOR SETAR – Kerajaan yang dibina atas asas pembohongan tidak akan mampu bertahan lama, sebaliknya akan ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun kerajaan sering mengumumkan jumlah pelaburan besar, rakyat tetap dibebani dengan kenaikan kos sara hidup akibat tindakan menarik dan mencatu subsidi.
“Lawatan demi lawatan menyaksikan pelbagai perjanjian ditandatangani, namun rakyat di bawah merasai bagaimana susah, bagaimana sempit kehidupan, jurang ekonomi yang semakin hari semakin melebar.
“Kini sampai masanya untuk kita sama-sama bangkit menolak pemimpin yang suka berbohong, berjanji tetapi tidak menunaikan janji. Saya ulang, kerajaan yang dibina di atas asas pembohongan tidak akan boleh bertahan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-66 di Kompleks PAS Kedah, semalam.
Menurutnya, lawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini hanya mengumumkan potensi pelaburan bernilai RM905 juta, sedangkan rakyat masih terhimpit dengan kehidupan.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebelum PRU15 lalu, Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji menurunkan harga minyak, menghapuskan tol lebuh raya serta menghapuskan pinjaman PTPTN, selain ada yang sanggup bersumpah nama Tuhan menafikan kerjasama politik dengan Umno.


“Mereka sanggup bersumpah kepada rakyat waktu pilihan raya wallahi, wabillahi, watallahi. Mana pergi sumpah tersebut? Mana janji hapus PTPTN, hapus tol, turun harga minyak?
“Sebenarnya mereka hanya bersandar pada sebuah dahan yang rapuh, menunggu masa untuk tumbang,” tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.


























