Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Sawah yang menghijau dinegeri jelapang padi yang menerima berbilliun pelaburan ini dengan angin semilir menampar nampar lembut wajah . Indah nian anak muda dengan guratan wajah bersih pada pagi bulan Rabiul Awwal ini sebagaimana segarnya ukhuwwah dan persahabatan dalam jamaah Islam ini. Muktamar ini kali keenam dalam rekodnya ,Kedah menjadi tuan rumah, bukan lagi di bangunan madrasah namun di Kompleks PAS Kedah yang tersergam indah,terbina dengan infak para amilin PAS Kedah.
Siapa yang tidak merindui hamparan bendang hijau negeri Kedah adalah bohong!. Keenakan Dan aroma masakan gulai ghias pisang seperti nasi ganja yang menyebabkan ketagihan jangka panjang. Sahabat- sahabat seperjuagan di Kedah gemar mengikat ukhuwwah , tak dibenarkan kita berpamitan jika perut tak diisi penuh. Negeri dengan sejarah panjang perang dengan Siam ini juga dengan pelbagai peristiwa penting PAS, tangkapan ISA Operasi Padi 1980, Memali, tragedi Lubuk Merbau, tragedi Muasasah Darul Ulum dan operasi kenari .
Pagi jumaat 12 September yang indah ini, dengan langkah dan derapan bergaya pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat mengiringi langkah Timbalan Presiden PAS Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk merasmikan Muktamar DPPM Kali ke 66 di Dewan Fadhil Nor , Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut. Perwakilan dan pemerhati kelihatan teruja mengikuti ucapan tema dan ucapan perasmian dengan intonansi suara bergelegak semangat daripada mantan Menteri Kabinet ini yang juga Timbalan Presiden PAS. Dato Seri Tuan Ibrahim mengingatkan semua para amilin untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT, merapikan persiapan untuk berdepan dengan PRU 16, mengajak Dewan Pemuda mengusahakan keahlian PAS dengan lebih serius bagi merengkuh kejayaan dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Menarik juga dengan gimik usai perasmian apabila beberapa anak mudah bermotosikal meredah banjiran manusia dalam Dewan Dato Fadhil Noor. Mesej dan kurikulum tersembunyi bahawa pemuda PAS mengalukan kepelbagaian anak muda. Anak – anak ranggi, mat motor, rockers, pesukan, kelompok anak muda intektual,apatah lagi generasi haraki yang dicetak dengan pentarbiahan yang sistematik. Gimik penyerahan bendera PAS dan Palestine oleh pimpinan pemuda dengan bermotor adalah simbolik untuk memperjuangkan Islam di negara ini dan antarabangsa.
Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat jika menurut tradisi dekad 90an yang biasa turut dihadiri tetamu- tetamu jemputan daripada dalam dan luar negara, contohnya wakil HAMAS, Ikhwanul Muslimin, Partai Keadilan Sejahtera, pernah ada wakil daripada Afghanistan dan Turki serta pelbagai gerakan Islam yang lain. Rakan rakan parti bersama dalam pemuafakatan politik serta pelbagai NGO. PAS sebagai sebuah harakatul ummah yang sentiasa berjiwa besar dan mendepangkan tangan kepada apa sahaja usaha memartabatkan Islam di tanah leluhur ini.
Dewan Pemuda bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam ditubuhkan pada tahun 1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi, seorang guru agama yang dikenali di sebelah utara Semenanjung. Ramai kalangan aktivisnya pada dekad 50an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Yunus Yatimi , Ustaz Baharuddin Latif dan lain lain.
Sejujurnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia adalah entiti parti yang paling dinamik, memicu pesona serta menelurkan pelbagai idea penting kepada badan induk jamaah ini. Sebagai sayap penting , jauh daripada sikap mengampu dan merasa selesa dengan kondisi yang ada. Dewan Pemuda PAS adalah kilang tajnid ( perkaderan )serta melahirkan generasi pimpinan PAS disepanjang zaman .
Dewan Pemuda PAS Pusat antara yang mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr Burhanudin al Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956,mengusahakan agar Dr Burhanudin menjadi tonggak utama PAS . Tokoh besar yang berdoktorat daripada Universiti Aligagh India ini bukan kepalang jasanya kepada perjuangan ummah, pernah mendekam dalam penjara British pada pada tahun 1935, 1937 dan pada tahun 1950. Malah dizaman pemerintahan PERIKATAN Umno juga, almarhum ditahan dibawah ISA sehingga menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1970.
Dewan Pemuda dalam dekad 1970an menjadi rakan kongsi strategik dalam pemuafakatan politik , dimana terlantiknya Ketua Dewan pemuda PAS Pusat saat itu, Dato Mustapha Ali sebagai Timbalan Menteri kerajaan campuran BN. Aktivis pemuda era itu membantu program pendakwahan skala besar dalam era kebangkitan semula Islam.
Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di Madrasah Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama. Usul penting inilah yang membentuk orientasi perjuangan PAS sehingga kini . Pemuda PAS telah melangkah gagah dipelbagai sektor, mereka memulakan rangkaian jaringan pendidikan PAS . Bermula dengan pendidikan prasekolah PASTI, merambah kepada SRITI dan SMITI, menjadikan PAS sebagai satu-satunya gerakan Islam didunia ini yang mempunyai kitaran lengkap tarbiah nizomi, daripada prasekolah sehinggalah kolej Universiti.
Gerakerja kebajikan dan kemasyarakatan secara munazzomah dicetuskan oleh Dewan Pemuda dengan munculnya Unit Amal pada tahun 1991 , yang kemudiannya dijenamakan sebagai Jabatan Amal. Pelbagai jaringan sivil, gerakan swadaya masyarakat digerakkan oleh Dewan Pemuda, yang akhirnya PAS dilihat mesra rakyat pada kacamata masyarakat awam. Dimana ada bencana dan tragedi dalam dan luar negara, maka ent66iti PAS terus berada di barisan paling hadapan sehingga diyakini publik. NGO , jaringan sivil yang dibidani oleh Dewan Pemuda PAS Pusat terus menyebar kebaikan dan kepedulian ummat dipelbagai peta luka umat Islam.
Dewan Pemuda PAS terus memimpin dan merengkuh pelbagai sektor masyarakat untuk menyertai PAS. Antaranya dengan ARC, menjadikan kelompok anak-anak muda yang minat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh harakatul ummah ini. Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang kompeten dan berdaya saing. Pemuda PAS juga menerokai ruang intelektual dengan mengadakan wacana ,dialog, seminar untuk menguasai pasaran kelas menengah masyarakat pengundi.
Dewan Pemuda PAS yang melepasi tujuh dekad perjuangan ini telah meninta perjuangan ini dengan catatan emas. Merekalah paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, dibunuh,dibuang daerah serta dikucilkan oleh jentera regim penguasa . Lihatlah era Abdul Samad Gul Mianji, Ustaz Jais Anwar, Ustaz Hasan Shukri, Cikgu Mustapha Ali, Ustaz ABC, Dewan Pemuda mendobrak kezaliman regim dan mencetus idea-idea baru dalam jamaah Islam ini.Generasi selepas itu terus memimpin gelombang rakyat , maka jangan dirosakkan kegemilangan sejarah emas Dewan Pemuda ini dengan pemuda yang berwatak selesa , dingin intelek serta sendu keberanian.
Muktamar Pemuda PAS Malaysia Kali ke 63 ini sebagaimana lontaran harapan dan misi Ketua Pemuda , Ustaz Afnam Hamimi Taib Azamudden , para pemuda PAS , pemuda generasi akan terus memimpin kebangkitan ummah, pemuda PAS yang mempunyai pakej lengkap kompetensi, mempunyai tampang pemuda haraki dan Sufi, memadukan antara kemapanan ilmu dan keberanian dilapangan Amal.Memiliki ilmu yang luas , membina jaringan sosial yang baik demi mengarusperdanakan perjuangan.
Teruskan era pengukuhan jamaah ini serta usaha menarik seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini. Pemuda adalah benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah. Tulang belulang mereka adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan terus memimpin.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Tetap DPPP)






























