Kemungkaran 1MDB Bermula Apabila Menggunakan Kaedah Hutang ‘Riba’ Haram

1850

KUALA TERENGGANU – Kemungkaran 1MDB bermula apabila syarikat milik kerajaan itu mendapatkan modal sehingga berpuluh bilion ringgit menggunakan kaedah hutang riba yang diharamkan oleh Islam.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr. Khairuddin Aman Razali, perniagaan berasaskan modal ‘haram’ yang tidak akan diberkati Allah, menyebabkan pelbagai isu melingkari 1MDB.

“Begitulah juga pengurusan kewangan Kerajaan Persekutuan, tidak lepas daripada penglibatan hutang riba berpuluh bilion ringgit saban tahun yang membawa negara ke kancah kerosakan ekonomi,

“Bukan hanya di zaman Dato Seri Najib. Malah ia kesinambungan dasar pemerintahan Tun Dr Mahathir.

“Pengurusan kewangan 1MDB sedang bergelut dengan pelbagai pelan bagi menyelesaikan kemelut hutang ini yang jika tidak diselesaikan bakal melibatkan kewangan kerajaan kerana hutang-hutang 1MDB dijamin oleh Kerajaan Persekutuan,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Oleh itu, kata Ahli Majlis Syura Ulama itu, PAS sejak dulu lagi menuntut hutang 1MDB diselesaikan segera dengan pelbagai pelan pembayaran oleh pengurusan terkini 1MDB.

Beliau berkata, 1MDB juga terpalit dengan dakwaan kebocoran dan ketirisan perbelanjaan.

Ia adalah kerana, menurut beliau, perbelanjaan 1MDB yang dikatakan mengalir kepada beberapa syarikat milik individu tertentu mengundang kepada penyiasatan dan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

“Amerika Syarikat boleh bertindak menurut lunas undang-undang mereka jika ia melibatkan aliran kewangan yang mengalir ke negara mereka dan dakwaan pengubahan wang haram. Jangan pula tindakan hanya menjadi modal politik tanpa kesudahan untuk kepentingan pihak tertentu.

“Namun, sebagai warganegara Malaysia tidak sewajarnya teruja dengan penyiasatan tersebut yang mencemarkan nama negara.

“Usah diharapkan keadilan daripada sebuah negara yang telah terbukti gagal bersikap adil terhadap umat Islam di pentas antarabangsa seperti isu Palestin dan Iraq. Motif Amerika Syarikat yang menganggap mereka sebagai polis dunia juga perlu dilihat dan direnung,” tegasnya.

Malah, beliau menyatakan, dakwaan ada individu rakyat Malaysia yang melobi negara luar untuk mengambil tindakan terhadap aliran kewangan 1MDB juga tidak boleh dipandang ringan kerana ia bererti membawa masalah negara sendiri untuk campurtangan luar.

“Masalah negara sendiri perlu diselesaikan dengan cara kita sendiri tanpa melibatkan orang luar.

“Sebagai warganegara kita menegaskan bahawa kerajaan Malaysia perlu segera membentuk Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat tuduhan ketirisan dana 1MDB ini. Terkini PAS bersama Gagasan Sejahtera akan segera membawa memorandum kepada Yang Dipertuan Agong dalam isu ini,” tambah beliau.

Mengimbau sepanjang pemerintahan BN, tulis beliau, negara telah menyaksikan pelbagai skandal termasuk skandal FOREX melibatkan puluhan juta di zaman Dr Mahathir, skandal BMF, skandal Perwaja dan lain-lain.

Ia disebabkan, dasar pemerintahan yang tidak merujuk kepada Islam akan tetap dilanda oleh pelbagai kemelut dan skandal kerana ia diuruskan oleh jiwa yang tidak meletakkan pertimbangan syurga dan neraka.

Tambah beliau, individu yang hari ini dilihat menentang BN juga tidak sunyi daripada pelbagai tuduhan dan skandal ketika mereka berada dalam kerajaan.

“Adakah mereka hanya berhasrat menukar pemimpin BN sahaja tanpa menukar dasar-dasar pentadbiran dan pemerintahan yang menjadi sebab negara terpalit dengan pelbagai kemelut ekonomi, sosial dan politik ini?,” soal beliau.