Kekalkan Akta Hasutan; Umno Kritikal, Paranoid

752

UMNO semakin ‘konservatif’ dan akan terus menjadi parti yang mengamalkan budaya lama yang merosakkan dan tidak akan membawa perubahan kepada rakyat.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, kenyataan Presiden Umno Dato’ Seri Najib Razak akan mengekalkan Akta Hasutan adalah memungkiri janji, membelakangkan institusi Parlimen dan mendahului keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Umno akan mempergunakan akta ini untuk menyelamatkan kedudukan dan kekuasaan yang dimilikinya dan bertujuan untuk melemahkan lawannya.

“Umno tidak mahu berubah dan kekal dengan budaya lama yang merosakkan, tidak bersedia dengan perubahan yang dibawa dari dalam partinya dan oleh ahlinya sendiri dan juga oleh rakyat secara amnya,”ujar beliau dalam satu kenyataan medianya.

Menurutnya, sejak tahun 2012, Najib yang juga Perdana Menteri telah berjanji untuk memansuhan akta ‘zalim’ itu selaras dengan tuntutan rakyat.

Malangnya kata Nurul Islam, Najib memungkiri janji setelah menerima tekanan daripada pemimpin kanan UMNO, NGO ‘ekstrem’ Perkasa dan setelah meneliti semula prestasi UMNO dalam PRU13.

Katanya, keputusan Najib adalah unjuran kemungkinan bahawa BN tidak lagi dapat menguasai majoriti dua pertiga dalam PRU14 bahkan dijangka gagal mendapat undi bukan Islam.

Oleh itu, beliau berkata, Umno dalam keadaan tertekan dan kritikal sehingga mencanggahi Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebabasan bersuara.

“Ia juga memperlihatkan bahawa UMNO sedang dalam keadaan paranoid yang kritikal, membelakangkan institusi Parlimen dan mendahului keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Parlimen (akan jadi) sebagai hanya ‘rubber stamp’……(tindakan Najib) bercanggah dengan Seksyen 4 perlembagaan dan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,”tegasnya