Kebajikan Rakyat Agenda Utama

102

Allah berfirman dalam surah Al-Hadid, ayat ke 21:

سَابِقُوْٓا اِلٰى مَغْفِرَةٍ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ السَّمَاۤءِ وَالْاَرْضِۙ اُعِدَّتْ لِلَّذِيْنَ اٰمَنُوْا بِاللّٰهِ وَرُسُلِهٖۗ ذٰلِكَ فَضْلُ اللّٰهِ يُؤْتِيْهِ مَنْ يَّشَاۤءُ ۚوَاللّٰهُ

ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيْمِ

“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Surah Al-Hadid, ayat 21)

Selama hampir setahun lebih rakyat Malaysia dibelenggu pandemik. Dalam usaha kerajaan bagi menangani penularan COVID-19, sekatan pergerakan terpaksa dibuat. Ini telah memberi kesan kepada kehidupan kepada rakyat terutamanya dari sudut rezeki mereka. Ramai yang terpaksa berjimat dan ikat perut disebabkan ini.

Alhamdulillah, belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini jelas mementingkan kebajikan rakyat apabila banyak inisiatif yang diumumkan berfokus untuk membantu rakyat kembali hidup seperti biasa. Sebanyak RM8.2 billion telah diperuntukkan dalam skim Bantuan Keluarga Malaysia yang mensasarkan 9.6 juta penduduk dalam negara ini.

Dalam surah Al-Maidah, ayat 2, Allah S.W.T berfirman tentang berbuat kebajikan dan menolong golongan yang memerlukan:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Dalam skim terbaru ini, isi rumah berpendapatan RM2,500 yang mempunyai seorang atau dua orang anak akan diberikan RM1,500 dan lebih dari 3 orang anak akan menerima RM2,000. Bagi mereka tidak mempunyai anak juga layak menerima bantuan sebanyak RM1,000. Ini akan membantu seramai 4 juta rakyat yang kesemuanya berada dalam kategori B40.

Selain itu, kerajaan juga telah mengumumkan bantuan tambahan bagi isi rumah warga emas sebanyak RM300 dan isi rumah ibu atau bapa tunggal sebanyak RM500. Ini akan menjadikan penerima warga emas yang mempunyai tanggungan sebanyak 3 orang anak akan menerima bantuan maksimum sebanyak RM2,300 dan ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan yang sama menerima RM2,500.

Bagi warga emas yang tidak mempunyai pasangan pula, RM600 akan diberikan dan bujang yang berpendapatan tidak melebih RM2,500 menerima RM350 untuk meringankan beban mereka untuk meneruskan kehidupan.

Tambahan lagi, kerajaan juga telah mengumumkan bahawa Paras Garis Kemiskinan (PGK) dinaikkan dari RM980 kepada RM1,169 yang akan memanfaatkan lebih 440 ribu orang yang memerlukan bantuan langsung dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). Kerajaan telah pun bersetuju untuk menyediakan sebanyak RM2.4 billion bagi penyaluran bantuan kebajikan ini.

Daripada Abu Ummah, Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Riwayat Ahmad)

Hadis ini adalah salah satu antara puluhan dalil yang menyarankan supaya berbuat baik dan menjaga anak yatim. Sudah menjadi tanggungjawab pemerintah memperbaiki keadaan dan memberikan Pendidikan kepada mereka. Oleh yang demikian, bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan, satu Yayasan telah diwujudkan atas semangat ini.

Yayasan Keluarga Malaysia telah ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang berfokus kepada perlindungan kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim piatu yang terkesan semasa pandemik Covid-19 ini. Sebanyak RM25 juta telah disalurkan sebagai dana permulaan yang akan dipadankan dengan sumbangan dari badan korporat.

Akhir kata, kerajaan sedar akan kepentingan kebajikan rakyat yang perlu terus dijaga kerana tanpa rakyat yang bahagia, sesebuah negara tidak akan mencapai kemakmuran yang dicita. Kerajaan akan terus berusaha dalam memberikan keselesaan pasca pandemik kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira siapa.

YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary
3 November 2021