Ke mana Arah Hala Tuju Hospital Kita?

1304

Apa yang agak menimbulkan persoalan, polisi dan prosedur rawatan disebuah hospital yang masih dikategorikan sebagai hospital awam seperti Hospital USM apabila kakitangan yang bertugas memaklumkan bahawa bayaran sebanyak RM300 perlu dibuat terlebih dahulu sebelum pemeriksaan CT Scan boleh dilakukan.

Rawatan bagi seorang pesakit yang mengalami kecederaan parah di kepala (severe head injury) boleh dikategorikan sebagai menyelamatkan nyawa (live saving). Dari segi etika perubatan, ianya wajib dilakukan samada pesakit berduit ataupun tidak. Mengarahkan pesakit membayar terlebih dahulu mungkin munasabah dalam keadaan tertentu, tetapi apabila keadaannya kritikal dan bagaimana sekiranya waris pesakit lambat untuk dihubungi ataupun mereka adalah golongan yang tidak berkemampuan untuk menyediakan dengan segera bayaran yang diperlukan, apakah tindakan selanjutnya pihak hospital? Duit atau menyelamatkan nyawa pesakit?

Ini adalah satu dari sekian banyak senario yang biasa dilihat dan aduan yang biasa didengar bagi pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di Hospital Universiti Sains Malaysia.

Senario ini menjadi lebih menekan masyarakat apabila Universiti Sains Malaysia melalui USAINS Holding Sdn Bhd, satu sayap komersial yang bertanggungjawab untuk menguruskan komersial aktiviti di USM, mewujudkan sistem perkhidmatan perubatan swasta bermula sekitar 2004.

Sebagai sebuah hospital awam yang masih menerima dana jutaan ringgit dari wang rakyat walaupun Universiti Sains Malaysia sudah berstatus Apex Universiti, saya melihat dengan penuh kekesalan akan tindakan pihak pentadbiran hospital yang mewujudkan perkhidmatan swasta di premis Hospital USM mungkin dengan alasan untuk mengelakkan penghijrahan tenaga doktor-doktor pakar ke hospital swasta serta menghasilkan income kepada universiti .

Perkhidmatan yang dikendalikan oleh USAINS Holding menggunakan kemudahan bangunan hospital, bilik bedah hospital, peralatan hospital, kakitangan hospital, wad hospital dan pelbagai lagi kemudahan hospital yang sebenarnya dibina dan dibeli dengan wang rakyat tetapi pesakit perlu membayar dengan caj yang menyamai perkhidmatan hospital swasta, seperti bayaran wad yang mencecah RM1,000 sehari, kos pembedahan yang mencecah belasan ribu dan pelbagai lagi..

Sebahagian besar pendapatan akan masuk ke poket doktor bertugas walaupun sebenarnya para doktor ini telah sedia menerima gaji bulanan sebagai seorang kakitangan awam. Sebahagian kecil lagi pendapatan adalah bahagian USAINS Holding dan kakitangan sokongan.

Mungkin ada yang berhujah, apa salahnya disediakan perkhidmatan swasta, pesakit pula sedia untuk membayar demi mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik. Benar! Dari suatu segi kelihatannya adil tetapi mengendalikan dua perkhidmatan serentak di satu masa menyebabkab berlakunya pertindihan kepentingan walaupun kononnya didakwa, perkhidmatan swasta ini ditawarkan selepas waktu pejabat tetapi saya mempunyai bukti yang jelas bahawa pematuhan waktu rawatan ini tidak dipatuhi. Tambahan pula, bagi seorang pesakit, mereka memerlukan rawatan tanpa mengira waktu pejabat atau luar waktu pejabat.

Paling ketara adalah pengabaian pesakit yang tidak berkemampuan. Biasa berlaku malah sering berlaku, seorang pesakit terbaring berhari-hari di wad tanpa suatu penjelasan bilakah pembedahan terhadap mereka akan dimulakan. Paling mendukacitakan bila ada kakitangan hospital yang memaklumkan, “Pak Cik boleh dirawat segera, sekiranya boleh membayar jumlah sebanyak ini..! kalau tak, Pak Cik kena tunggu giliran yang saya tak boleh nak jamin bila akan dapat.”

Maknanya, telah berlaku di negara kita sebagaimana yang telah berlaku di Indonesia, kalau tak punya wang, pastikan kita jangan sakit.

Para doktor juga adalah manusia biasa, tetapi sistem yang diamalkan boleh membentuk cara mereka bekerja. Apabila diberikan pilihan, yang pertama, melakukan pembedahan untuk pesakit yang tidak berkemampuan di bawah kategori pesakit biasa dan yang kedua melakukan pembedahan untuk pesakit yang berduit serta membayar belasan ribu ringgit di bawah kategori perkhidmatan swasta dengan sebahagian besarnya akan masuk ke kantung doktor,  maka, sila jawab wahai para doktor yang budiman, mana satu yang jadi pilihan?

Tuntutan keperluan dan tekanan hidup meyakinkan kita bahawa pesakit kategori kedua akan menjadi pilihan dan tentunya bukan niat kita untuk menyalahkan para doktor kerana mereka hanya sekadar mengisi ruang dari peluang yang terbentang.

*** Penulias adalah Anggota Badan Perhubungan PAS Terengganu merangkap Naib Yang DiPertua PAS Setiu