Jemaah Bukan Sekadar Di Kampus

3382

Oleh: Aslam Wira

MARANG – Para mahasiswa dan mahasiswi diingatkan tidak hanya bersama jemaah semasa menuntut di universiti tetapi juga selepas bergelar alumni.

Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS), Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, manusia tidak mampu untuk melakukan sesuatu perkara secara sendirian tetapi boleh melakukan secara beramai- ramai.

“Berkumpul ini bukan sahaja semasa kita di kampus, tapi selepas bergelar alumni sekalipun masih perlu ada jemaah.

“kerana manusia tidak mampu nak fikir semua, tetapi dengan berjemaah, dia mampu bersama-sama berfikir tentang semua,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika merasmikan program Bakti Siswa 3.0, Universiti Azlan Shah (USAS) Perak di Madrasah Darul Quran, Rusila pada 1 Februari lalu.

Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi,matlamat tidak menghalalkan cara yang dibuat dan mestilah berfikiran yang betul.

“Jemaah yang betul laksana lilin yang sanggup dibakar, untuk memberi cahaya kepada orang lain.

“Bukan berpegang pada matlamat yang meghalalkan cara, ikut cara yang betul bukan cara yang salah, dan pemikiran yang betul bukan pemikiran yang salah.

“Ada orang yang tahu apa yang kita tidak tahu, ada orang yang tidak tahu apa yang kita tahu maka ini dapat menyempurnakan antara satu sama lain,” tegas beliau.

Sementara itu dalam satu sesi dialog khas, beliau menjelaskan beberapa perkara berkaitan kepentingan berada dalam jemaah.

“Hendaklah ada dalam kalangan kamu, satu ummah, satu jemaah, satu kelompok, yang melangsungkan perjuangan nabi.

“Yang mengajak kepada kebajikan islam seluruhnya, al-Quran, Hadis, Ijtimak Ulamak dan Qias. Yang Menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, ” tambahnya lagi.

Seramai 60 orang peserta daripada Kelab Tabung Haji (TAHA) USAS itu telah memanfaatkan waktu bersama Abdul Hadi tanda menghargai tokoh ilmuwan dan mantan Naib Ketua Ulama’ Sedunia itu.

Turut hadir adalah Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Daud Jusoh, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, Mohamad Embong.